Tiada negara benarkan promosi bendera negara lain

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kedaulatan negara ini dianggap berada di tahap buruk kalau kerajaan terus membiarkan warga asing mengibarkan bendera negara mereka di Malaysia.  

- Advertisement -
Dr Zulkeflee Yaacob

Pensyarah psikososio sebuah universiti awam Dr Zulkeflee Yaacob berkata, tiada negara di dunia yang membenarkan perbuatan mempromosi bendera negara lain.

Antanya kata beliau di Korea warga asing yang didapati mengibar bendera mereka boleh dihukum bunuh.

“Termasuk di negara China, India dan Eropah pesalah mengibarkan bendera negara asing dikenakan hukuman berat termasuk dilucut kewarganegaraan bagi rakyat tempatan,” katanya di sini.

Baru-baru ini tular sekumpulan warga asing mempamerkan bendera China pada perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan, Perak.

Pada Sabtu lepas, media melaporkan polis mengesah penganjur perarakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan mempamerkan bendera China sebagai melanggar syarat permit.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, penganjur mempunyai permit yang diluluskan pada 2 Oktober lalu.

Ekoran itu 16 warga China dan seorang lelaki warga tempatan berumur 49 tahun yang merupakan pengiring disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana melanggar syarat dan Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949, kesalahan mengibarkan bendera asing ketika perarakan.

Bagaimanapun seorang pemimpin Umno dilapor berkata, orang asing tiada kesalahan mengibar bendera negara asing.

Sebelum itu pada awal Oktober media melaporkan 33 pelajar sekolah Chung Ling Private High School Pulau Pinang yang berasal dari China mengibar bendera negara mereka pada satu perhimpunan di sekolah terbabit.

Dr Zulkeflee juga berkata, biarpun penganjur memohon maaf, namun kerajaan seperti membiarkan kesalahan serupa terus berulang tanpa tindakan tegas. – HARAKAHDAILY 20/10/2024

- Advertisement -