KOTA BHARU: Tabung Pendidikan Tinggi Yayasan Tok Kenali (YTK) turut memain peranan membantu pelajar kurang berkemampuan melanjut pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, tabung tersebut membantu masyarakat ke arah lebih cemerlang pada masa hadapan.
Katanya, pendidikan merupakan keperluan penting dalam usaha membentuk masa depan keluarga dan masyarakat.
“Usaha mencari ilmu adalah satu ibadah dan ia akan diganjari Allah Taala jika dilakukan dengan niat ikhlas,” katanya ketika merasmikan Pelancaran dan Penyampaian Sumbangan Tabung Pendidikan Tinggi YTK di sini hari ini.
Pada program itu seramai 22 pelajar yang akan melanjut pengajian di peringkat master dan PhD menerima sumbangan one off antara RM3,000 dan RM5,000 setiap seorang.
Turut hadir Pengarah YTK Zulqarnain Hassan dan Ketua Wilayah Bank Rakyat (Kelantan Terengganu), Ghazi Omar.
Mohd Nassuruddin juga berkata, yayasan tersebut memain peranan membantu pelajar melanjut pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas memperolehi ijazah sarjana muda.
“Usaha ini sudah pasti satu tanggungjawab sosial yang mulia dan amat bernilai di hari akhirat kelak. Insya-Allah di sana ada keberkatan dalam rezeki yang kita kongsikan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/10/2024