‘Siapa ancam negara ini kita harus tentang’

Dato' Seri Dr. Shahidan Kassim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Insiden pengibaran bendera China di Teluk Intan dan Johor Bahru baru-baru ini telah mencetuskan kebimbangan mengenai semangat patriotisme di Malaysia.

- Advertisement -

Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata, video seorang warga Tionghua turut menimbulkan isu ancaman terhadap ekonomi Malaysia dan Singapura serta membangkitkan persoalan sama ada warga Malaysia dapat mengibarkan bendera mereka di negara lain tanpa risiko.

“Dia sendiri menyebut apakah orang Malaysia yang kibar bendera Malaysia di negeri China akan boleh balik ke Malaysia, silap-silap mungkin seumur hidup di sana.

“Apakah orang Malaysia boleh kibarkan bendera kita di negeri lain. Bayangkan orang kibar bendera (negara dia) di Malaysia.

“Kita mesti mempunyai semangat patriotisme yang tinggi. Kita rakyat Malaysia, sayang kepada Malaysia. Siapa mengancam negara ini kita harus tentang,” ujar beliau.

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menyeru rakyat Malaysia untuk menanamkan semangat patriotisme yang tinggi, sama seperti sokongan dalam sukan seperti badminton dan bola sepak.

Menurutnya, rakyat Malaysia juga diseru bersatu menentang sebarang tindakan yang merendahkan maruah bendera dan negara.

Selain itu, beliau menyentuh berkenaan, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meminta agar dibenarkan mengeluarkan baki dalam akaun kedua mereka walaupun terdapat akaun ketiga yang baru diperkenalkan.

Beliau turut membangkitkan berkaitan harga makanan kantin sekolah yang dijangka naik sebanyak 50 peratus tahun depan, yang membimbangkan ibu bapa berpendapatan rendah di tengah kos barangan yang semakin tinggi. – HARAKAHDAILY 28/10/2024