KUALA LUMPUR: “Video tular perarakan sambil mengibarkan bendera negara China bukan sahaja berlaku di Teluk Intan, Perak malah insiden yang sama dilaporkan turut berlaku di Johor Bahru, Johor.”
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff dalam pendedahannya mendakwa, perarakan itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh merangkap Timbalan Speaker DUN Negeri Melaka, Kerk Chee Yee.
“Kali ini siap gambar, video dan segala bukti. DAP nak nafi lagi?
“Apa lagi bangsa Johor? Kasi report sama ini orang,” katanya menerusi satu kenyataan yang disiarkan di Facebook PAS Johor Bahru, hari ini sambil memuatnaik paparan yang dimuatnaik oleh Chee Yee dalam Facebooknya mengenai insiden itu.
Justeru, beliau berharap agar Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi dapat memberikan penjelasan mengenai insiden yang berlaku itu.
“MB (Menteri Besar) Johor harap tak jawab ‘apa isunya?’ macam MB Perak lah. Buat malu orang Malaysia,” katanya.
Terdahulu, polis Perak dalam kenyataan media pada Jumaat (25 Oktober) lalu berkata, pihaknya telah memanggil penganjur untuk dirakam keterangan berhubung video perarakan mengibar bendera negara China dalam sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan pada malam Khamis (24 Oktober).
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dalam kenyataannya itu berkata, perarakan berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu didapati telah melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Menurut beliau, program yang disertai 400 penonton itu telah berlangsung dari jam 8 malam hingga 11.30 malam.
“Aduan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan pada jam 12.39 tengah malam tadi (24 Oktober).
“Polis telah memanggil penganjur untuk rakaman keterangan dan mereka juga akan diminta untuk mengemukakan semua peserta warga asing yang dipercayai dari China untuk membantu siasatan,” katanya.
Azizi berkata, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana melanggar syarat permit dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.
Terdahulu juga, media melaporkan pihak penganjur telah tampil memohon maaf susulan video tular perarakan sambil mengibar bendera China dalam sambutan Guan Gong Sedunia itu.
Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua dilaporkan mendakwa bahawa perbuatan itu dilakukan oleh peserta rombongan dari China yang menyertai perarakan sambutan berkenaan. – HARAKAHDAILY 28/10/2024