TOKYO: Parti pemertintah Jepun, Parti Demokratik Jepun (LDP) dan parti sekutunya, Komeito hilang majoriti di parlimen selepas pilihan raya umum semalam, keputusan terburuk dalam lebih sedekad.
Dalam pilihan raya umum tersebut, gabungan dua parti itu sekadar memperoleh 215 daripada 465 kerusi Dewan Rakyat, kurang daripada 233 yang diperlukan untuk mencapai majoriti, lapor media Jepun, NHK.
Keputusan itu merupakan tamparan hebat kepada Perdana Menteri yang baru dilantik pada 1 Oktober lalu, Shigeru Ishiba yang mengambil keputusan untuk mengadakan pilihan raya mengejut bagi mengukuhkan kedudukannya selepas mengambil alih jawatan daripada Fumio Kishida.
Pilihan raya berkenaan diadakan selepas Ishiba bertindak membubarkan parlimen pada 9 Oktober lalu, dan kehilangan majoriti di parlimen itu kini telah menimbulkan persoalan mengenai masa depan politiknya.
Dalam ucapannya pada Isnin, Ishida berkata LDP telah menerima ‘penghakiman yang teruk’, sambil menambah mereka akan ‘dengan rendah hati’ menerima keputusan yang telah disuarakan oleh rakyat Jepun.
“Pengundi telah memberikan keputusan yang keras kepada kami dan kami perlu menerima keputusan ini dengan rendah hati.
“Rakyat Jepun menyatakan hasrat kuat mereka agar LDP melakukan muhasabah dan menjadi parti yang bertindak selaras dengan kehendak rakyat,” katanya.
Untuk kekal berkuasa, LDP perlu cuba untuk membawa parti lain ke dalam gabungan atau pemerintahannya melalui kerajaan minoriti, dengan kedua-dua pilihan berkenaan bagaimanapun meletakkan kedudukan Ishiba sebagai perdana menteri dalam bahaya.
Pemenang terbesar dalam pilihan raya umum tersebut adalah parti pembangkang utama iaitu Parti Demokratik Jepun (CDPJ), yang memenangi 148 kerusi, meningkat daripada 98 sebelum ini, ketika pengundi menghukum parti LDP kerana skandal pembiayaan politik dan inflasi. -Agensi/– HARAKAHDAILY 28/10/2024