KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan Dan Komoditi diminta untuk menjelaskan kerjasama yang wujud antara Pusat dan Kerajaan Negeri Terengganu dalam usaha penghasilan makanan haiwan ternakan melibatkan manfaat biojisim.
Wan Hassan Mohd Ramli (PN- Dungun) berkata, ia berdasarkan kepada dokumen Pelan Tindakan Biojisim Negara (NBAP) 2030 berkait dengan manfaat bahan itu dalam industri agrikomoditi.
“Saya ingin merujuk dokumen Pelan Tindakan Biojisim Negara (NBAP) 2030. Di antara sasarannya ialah pengurangan import makanan haiwan untuk meningkatkan keterjaminan makanan dan di samping itu mewujudkan sekitar 33,000 peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau menyatakan perkara ini sewaktu mengajukan soalan tambahan kepada soalan asalnya sewaktu sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau dalam soalannya itu meminta Menteri menyatakan kerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu dalam NBAP 2030 berkaitan perkara itu.
“Kerajaan Terengganu sekarang ni sedang dalam usaha menghasilkan makanan ternakan bagi mengurangkan kebergantungan negara pada import bahan tersebut.
“Daripada 33,000 peluang pekerjaan baru tersebut beberapa banyakkah yang akan diwujudkan di negeri-negeri di Pantai Timur, Pahang, Kelantan dan khususnya di Terengganu bagi golongan belia di negeri-negeri itu?” soalnya.
Wan Hassan dalam soalan asalnya meminta Menteri Perladangan Dan Komoditi menyatakan inisiatif memanfaatkan biojisim daripada sektor agrikomoditi bagi mencipta peluang pekerjaan baharu kepada anak muda dan menggalakkan amalan ekonomi kitaran (circular economy) untuk mengelakkan bahan buangan berkenaan dibazirkan menjadi gas rumah hijau (GHG).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam jawapannya berkata, sebarang usaha membuka kilang pemprosesan makanan haiwan harus mengambil kira jarak antara kilang pengeluar dengan pusat penternakan ayam agar tidak menimbulkan isu kos pengangkutan.
Jelasnya, pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pernah mewujudkan kilang seperti itu, namun ia menghadapi masalah dan terpaksa ditutup kerana isu jarak antara kilang itu dengan kawasan penternakan.
“Sebab tu saya beritahu pada masa akan datang mana-mana kerajaan negeri yang nak bekerjasama dengan agensi-agensi ini, saya akan alu-alukan dan saya sendiri akan terlibat secara peribadi.
“Tetapi sebelum kita meletakkan apa sahaja pelaburan yang kita nak buat, saya nak nasihatkan bahawa dia mestilah kita berbincang dengan pemain industri tersebut,” katanya.
Namun beliau tidak menjawab soalan berkaitan berapa banyak peluang pekerjaan yang bakal dinikmati rakyat Pantai Timur berkait dengan industri itu berdasarkan NBAP 2030. – HARAKAHDAILY 20/10/2024