ALOR SETAR: Sebanyak 12 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini menerima sumbangan peruntukan daripada Kerajaan Negeri Kedah pada majlis yang diadakan di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Peruntukan yang berjumlah RM70,000 keseluruhan itu melibatkan 10 sekolah, masing-masing menerima RM5,000 dan dua sekolah sebanyak RM10,000 setiap satu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyampaikan sumbanagn tersebut dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan NGO, Wong Chia Zhen.
Pada majlis yang sama turut disampaikan bantuan Deepavali berbentuk hamper dan wang tunai kepada 1,000 penerima dalam kalangan penganut beragama Hindu yang kurang berkemampuan.
Hamper dan wang tunai sebanyak RM50 kepada setiap penerima akan diserahkan kepada Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) khususnya di kawasan majoriti masyarakat India beragama Hindu dan majlis serahan akan diuruskan oleh PKWR terlibat.
Sementara hamper Deepavali itu juga sebahagiannya diserahkan melalui beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terpilih seperti Hindu Sangam dan pertubuhan-pertubuhan kebajikan. – HARAKAHDAILY 28/10/2024