Integriti asas hidup mulia – Tuanku Syed Faizuddin

- Advertisement -

ARAU: Integriti bukan hanya sekadar perkataan, tetapi ia adalah asas kehidupan yang berteraskan kejujuran, amanah dan keadilan, demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

- Advertisement -

Titah baginda, pentingnya nilai integriti harus disemai dalam setiap aspek kehidupan, sama ada dalam akademik, pekerjaan, mahupun perhubungan sosial dan peribadi.

“Masyarakat yang berjaya ialah masyarakat yang meletakkan integriti sebagai teras kehidupan serta mematuhi agama, menghormati perlembagaan dan undang-undang,” titah baginda.

Ucapan tersebut dititah baginda dalam Majlis Perasmian Program Pemantapan Integriti Mahasiswa Universiti (PiMU) 2024 yang berlangsung di sini, semalam.

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Murshid Diraja Dr Juanda Jaya.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Ts Dr Zaliman Sauli dan Dekan Hal Ehwal Pelajar Mewakili Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Massudi Mahmuddin.

Program PiMU 2024 ini dianjurkan oleh Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak, Jabatan Premier Sarawak, dengan kerjasama UniMAP dan UUM.

Program ini bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang cemerlang, berintegriti, dan berpandukan nilai-nilai yang membimbing kehidupan serta kepimpinan masa hadapan mereka.

Antara objektif PiMU termasuk memupuk budaya integriti dalam kalangan mahasiswa Sarawak, meningkatkan kefahaman mengenai pentingnya integriti, dan memperkukuh usaha anti-rasuah.

Program ini juga menyediakan platform untuk pelajar memperluas jaringan dan bertukar pandangan mengenai isu-isu penting dalam integriti.

Seramai 200 pelajar dari UniMAP dan UUM, termasuk 150 pelajar Sarawak dari UniMAP dan 50 dari UUM, turut serta dalam majlis penutup tersebut.

Sebagai Canselor UniMAP, Raja Muda Perlis menzahirkan harapan agar mahasiswa menjadi individu berprinsip yang teguh.

Baginda turut berharap program ini dapat memberikan pendedahan penting kepada para peserta, menjadikan mereka pemimpin masa hadapan yang dihormati, disegani dan sentiasa berpegang kepada kebenaran. – HARAKAHDAILY 28/10/2024