KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal menyifatkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebagai bersikap regresif dan tidak reformis apabila menghalang beliau daripada duduk di galeri awam Dewan Rakyat.
Menurut beliau, alasan Johari bahawa kehadiran beliau di galeri awam Dewan Rakyat akan ‘menimbulkan banyak masalah’ juga tidak dijelaskan secara tepat sehingga menimbulkan tanda tanya.
Beliau merujuk kepada apa yang dibangkitkan Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat hari ini yang telah bertanya kepada Johari berkenaan dengan status penghalangan beliau untuk berada dalam galeri awam dan tempat pemerhati blok pembangkang Dewan Rakyat.
Katanya, Johari kekal dengan keputusannya terhadap halangan berikut walaupun Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh telah memberikan contoh terhadap apa yang pernah berlaku kepada mantan Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Sri Lim Kit Siang.
Menurut beliau, Lim menerima hukuman yang sama seperti yang dikenakan kepada beliau iaitu digantung enam bulan tetapi tetap diizinkan duduk di tempatnya dalam majlis tanpa dibenarkan bercakap.
Kata Fayhsal lagi, dalam pengetahuan beliau, Lim ketika itu diberi kebenaran tersebut atas budi bicara Ketua Majlis pada ketika itu iaitu Dato’ Sri Najib Razak yang telah berunding dengan Yang Dipertua untuk memberi kebenaran itu walaupun Ahli Parlimen Gelang Patah itu digantung selama enam bulan.
Menurut beliau, perkara itu sewajarnya menjadi kes terdahulu dan konvensyen untuk membolehkan Yang Dipertua membenarkan beliau hadir di galeri awam Dewan Rakyat.
“Jawapan Tuan Yang Dipertua pada hari ini bagi saya mengecewakan kerana beliau memberi jawapan yang bagi saya tidak lengkap. Dan beliau hanya memberi justifikasi dengan mengatakan kalau Machang ada dalam dewan, dalam chamber, galeri awam adalah tempat menunggu pemerhati Parlimen, nanti timbul banyak masalah.
“Saya tidak faham pandangan dan hujah tuan Yang Dipertua ini. Masalah apa sebenarnya yang tuan Yang Dipertua bimbang keberadaan saya dalam Dewan Rakyat? Sekadar pemerhati yang tak boleh berkata satu patah perkataan pun menimbulkan masalah kepada majlis ataupun kepada beliau sendiri?” soal beliau pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan di mana relevannya hujah itu, kecuali jika berlaku situasi beliau membawa penyakit yang boleh berjangkit kepada wakil-wakil rakyat yang bersidang atau mengganggu sidang.
“Jadi saya nampak hujah yang diberikan oleh Tuan Yang Dipertua bersifat regresif, jauh sekali reformis, kerana tidak dihuraikan dengan teliti, masalah yang saya boleh timbulkan jikalau saya berada dalam Dewan.
Malah beliau memberikan rasional bahawa tindakan beliau mengadakan sidang media di Pusat Media Parlimen itu yang dibenarkan hakikatnya adalah lebih ‘berbahaya’ kepada kerajaan berbanding beliau duduk dan tidak boleh bercakap di galeri awam Dewan Rakyat.
“Jadi saya mintalah rakyat Malaysia lihatlah apa yang sedang berlaku dalam Dewan Rakyat ini hak saya sebagai Ahli Parlimen yang dipilih rakyat telah dijatuhkan lebih rendah martabat daripada rakyat pemerhati biasa yang datang ke galeri awam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/10/2024