Kibar bendera China: Pemuda PAS, Armada Bersatu lapor polis

Khairul Nadzir (tengah) dan Zahin Zainal (dua dari kiri) selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia dan Armada Bersatu membuat laporan polis berhubung tindakan mengibarkan bendera China di tempat awam sekitar Teluk Intan bulan lalu.

- Advertisement -

Pemuda PAS Malaysia menerusi satu kenyataan berkata, laporan polis berkenaan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan diwakili oleh Ketua Penerangan, Khairul Nadzir dan Pengerusi Tetap Armada Bersatu Malaysia, Zahin Zainal beserta beberapa pimpinan ARMADA lain.

“Pemuda PAS dan ARMADA tidak berkompromi dengan sebarang perbuatan yang mengganggu gugat keharmonian awam dan mencabar kedaulatan negara daripada mana-mana pihak.

“Kami menyerahkan segala tindakan susulan kepada  pihak PDRM dan pihak berautoriti.

“Kita berharap agar tindakan tegas dikenakan ke atas kelompok ini sekali gus memberi iktibar kepada golongan biadab pada kemudian hari,” tulis kenyataan itu.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video yang memaparkan kejadian pengibaran bendera negara China pada program Pesta Tanglung di Menara Condong, Teluk Intan yang dilaporkan berlangsung bulan lalu. – HARAKAHDAILY 26/10/2024