TEHRAN: Pesawat pejuang Israel melancarkan serangan ke atas Iran sebelum letupan dilaporkan kedengaran di beberapa kawasan pada awal Sabtu.
Rakaman yang tersebar di media sosial bagaimanapun menyaksikan pemintasan berjaya dilakukan oleh sistem pertahanan udara Iran terhadap serangan berkenaan.
Walaupun banyak letupan dilaporkan berlaku, namun tiada apa-apa tentang letupan peluru berpandu atau pengeboman udara telah dilaporkan setakat ini, lapor Tehran Times.
Pusat arahan ketenteraan Israel dalam pada itu mengesahkan bahawa pasukan tentera udaranya sedang melakukan serangan ke atas ‘sasaran tentera’ di Iran.
Tentera Israel turut memberi amaran kepada warganya dan menggesa mereka untuk kekal berjaga-jaga dan berwaspada terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
Sementara itu, pesawat pejuang Amerika Syarikat (AS) dan Israel dilaporkan terbang melintasi tiga buah negara iaitu Jordan, Iraq dan Syria.
Beberapa letupan dikatakan turut berlaku di Iraq dan Syria, mendorong pengaktifan pertahanan udara tentera Syria.
Letupan telah dilaporkan di ibu negara Syria, Damsyik, dengan pertahanan udara Syria terus memintas sasaran yang dilakukan oleh Israel.
Agensi berita Lubnan, Al Mayadeen memaklumkan bahawa wartawannya di Iraq ada melaporkan telah mendengar letupan di pinggir kawasan Diyala dan Salah Al-Din. – Agensi / HARAKAHDAILY 26/10/2024