Tiga wartawan terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan

Serangan itu dianggap sebagai jenayah perang oleh Lubnan. (FOTO: Al Jazeera)
- Advertisement -

BEIRUT: Serangan Israel pada awal pagi Jumaat telah membunuh sekurang-kurangnya tiga wartawan ketika tidur di rumah tamu di Hasbaya, selatan Lubnan.

- Advertisement -

Mereka yang terbunuh termasuk jurukamera, Ghassan Najjar dan jurutera, Mohamed Reda yang bekerja untuk saluran berita pro-Iran, Al-Mayadeen, serta seorang jurukamera yang bekerja untuk stesen televisyen Al-Manar yang dibawah kendalian Hizbullah.

Menteri Penerangan Lubnan, Ziad Makary menuduh Israel dengan sengaja menyasarkan wartawan dalam serangan di selatan negara itu, apa yang disifatkannya sebagai ‘jenayah perang’, lapor Arab News.

“Israel menunggu waktu rehat malam wartawan untuk mengkhianati mereka dalam tidur mereka, ini adalah satu pembunuhan.

“Selepas memantau dan menjejaki dengan perancangan awal kerana terdapat 18 wartawan di sana yang mewakili tujuh institusi media. Ini adalah jenayah perang,” katanya menerusi ciapan di laman X beliau.

Sementara itu, wartawan yang turut berada di sekitar lokasi kejadian berkata, rumah tamu yang menjadi tempat tiga wartawan itu tidur telah menjadi sasaran langsung oleh zionis Israel.

“Serangan yang menyasarkan kediaman wartawan adalah disengajakan, dan terdapat wartawan yang cedera dari saluran Arab lain.

“Kami menuntut pihak yang melakukan serangan ini untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah perang ini, di mana kru wartawan, termasuk pasukan Al-Mayadeen, menjadi sasaran,” tulis Ghassan Jiddo di laman X.

Pembunuhan tiga wartawan itu berlaku 24 jam selepas serangan Israel mengenai pejabat yang digunakan oleh Al-Mayadeen di pinggir selatan Beirut dan sehingga kini, tiada sebarang komen dikeluarkan oleh zionis Israel berhubung insiden berkenaan. – Agensi / -HARAKAHDAILY 25/10/2024

- Advertisement -