Pencarian imam Madinah Ramadan bermula November ini

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sesi temuduga Imam Madinah Ramadan yang akan bertugas sempena Ramadan 1446 dijangka bermula  November ini.

- Advertisement -

Program Madinah Ramadan tahun 2025 sempena meraikan sambutan dua dekad Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, untuk menjayakan program berkenaan MPKB BRI membentangkan  taqwim program secara harian selama 30 hari pada  Ramadan dijangka bermula 1 Mac 2025.

Menurutnya, pada mesyuarat semalam turut diadakan  post-mortem bagi menilai perjalanan Madinah Ramadan lepas untuk ditambah baik.

“Insya Allah, sama-sama kita hidupkan Madinah Ramadan pada tahun 2025 dengan menghadiri program berbentuk ibadah dan keilmuan untuk meraih sebanyak mungkin pahala,” katanya pada hantaran facebooknya semalam.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Induk Madinah Ramadan bagi tahun 1446H/2025 di MPKB-BRI. Madinah Ramadan yang diadakan setiap tahun sebelum ini dikenali sebagai Qaryah Ramadan yang bermula tahun 2014.

Pelbagai pengisian diadakan di Madinah Ramadan sepanjang Ramadan yang bermula pagi sehingga malam dengan  aktiviti keagamaan, kebajikan, tazkirah, forum selain solat sunat tarawih. – HARAKAHDAILY 25/10/2024