IPOH: PAS Negeri Perak menuntut siasatan segera terhadap insiden pengibaran bendera negara China dalam sambutan Pesta Tanglung di Teluk Intan yang berlangsung semalam.
Terdahulu, sambutan tersebut difahamkan telah dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, 13 September lalu.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, video yang tersebar menunjukkan peserta mengibarkan bendera China, tindakan yang dianggap bertentangan dengan perundangan.
Kesalahan tersebut disandarkan beliau kepada Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193), yang melarang penggunaan lambang negara asing di tempat awam.
Insiden ini kata beliau yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak disifatkan sebagai cabaran terhadap kedaulatan negara dan keharmonian antara kaum.
“Pesta ini turut dihadiri oleh wakil Kerajaan Persekutuan dan Negeri, menjadikan ia seolah-olah mendapat restu rasmi,” kata Razman dalam satu kenyataan media hari ini.
PAS Perak menuntut tindakan tegas diambil terhadap penganjur, termasuk Menteri dan Exco yang hadir, serta siasatan dijalankan terhadap peserta terlibat.
“Setakat ini, tiada permohonan maaf dikeluarkan oleh penganjur atau wakil kerajaan berhubung insiden tersebut.
“Program yang dianjurkan oleh sebuah tokong ini dikatakan bertujuan untuk mempromosikan perpaduan dan pelancongan setempat,” katanya lagi.
Namun, tegasnya, pengibaran bendera China dianggap satu tindakan provokatif yang melanggar semangat perpaduan nasional. – HARAKAHDAILY 25/10/2024