Negara: Tanah air berdaulat sesuatu bangsa

- Advertisement -

SETIAP bangsa mempunyai tanah sendiri menjadi tempat yang dikenang sebagai asal usul, meskipun dia telah berhijrah dan menjadi warganegara lain.

Sebagai contoh, tanah Arab merupakan negara asal usul bangsa Arab, walaupun orang Arab itu telah berhijrah dan menjadi rakyat negara lain. Seharusnya dia menumpahkan taat setianya kepada negara hijrahnya selaku seorang warganegara. Namun ia tidak menafikan hakikat tanah Arab merupakan negara bangsa orang Arab.

Ada beberapa kaum dan bangsa yang tidak mempunyai negara berdaulat.

Bangsa Kurdish, meskipun mereka tidak mempunyai sebuah negara bangsa yang berdaulat, tetapi mereka mempunyai wilayah yang menjadi tanah air asal usul mereka, meskipun wilayah ini berada dalam jajahan wilayah takluk negara bangsa lain seperti Iraq dan Turki.

Namun ia tidak menafikan wilayah Kurdistan sebagai tanah air asal usul bangsa Kurdish.

Bangsa Yahudi mendakwa tanah Palestin sebagai negara bangsa Yahudi. Atas alasan Nabi Daud dan Nabi Sulaiman AS yang dianggap sebagai raja kaum Yahudi, pernah mendirikan kerajaan mereka berpusat di bumi Palestin.

Namun begitu sejarah bangsa Yahudi dan Bani Israil dirakam oleh al-Quran, begitu juga dengan riwayat kitab Yahudi mengisahkan hakikatnya. Bahawa orang Yahudi Bani Israil yang berasal daripada Nabi Ibrahim AS, merupakan satu bangsa yang baharu dan tidak mempunyai tanah asal.

Manakala Nabi Ismail bin Ibrahim AS, ketika ditinggalkan di bumi gersang di Makkah bersama ibundanya Sayyidah Hajar yang merupakan orang Qibthi berasal dari Mesir, telah berkahwin dengan suku Arab Yaman dan berkembang sebagai golongan yang dipanggil Arab Musta’ribah.

Keturunan Nabi Ismail AS mengambil identiti Arab, meskipun asalnya mereka bersama-sama golongan Bani Israil datang daripada satu bapa iaitu Nabi Ibrahim AS, yang bukan orang Arab ataupun Yahudi.

Justeru, apabila orang Melayu menegaskan bahawa Tanah Melayu yang melebar di pelusuk Nusantara ~ bermula dari Segenting Kra di wilayah selatan Thailand, menjalur ke Malaysia dan merentas ke beberapa kepulauan Indonesia, ~ merupakan wilayah asal orang Melayu, ia bermaksud menegaskan identiti sebagai sebuah bangsa yang bertanah air.

Hatta orang Melayu di Cape Town, Afrika Selatan menyedari bahawa tanah air asal usul mereka sebenarnya di Nusantara, Malaysia dan Indonesia, bukannya di benua Afrika.

Menegaskan Malaysia sebagai tanah Melayu bukan bermakna diskriminasi ataupun rasisme terhadap kaum lain di Malaysia.

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, ada orang Arab terutamanya dari Yaman, dan juga ada orang India Muslim dan segelintir kaum Cina yang datang ke Tanah Melayu lalu berasimilasi dengan warga tempatan, sehingga mereka mengambil identiti Melayu sebagai pengenalan diri, namun begitu mereka tidak melupakan asal usul mereka.

Mereka tidaklah mendakwa bahawa kaum asal mereka iaitu Arab, India dan Cina mempunyai hak kesamarataan yang berkongsi dengan orang Melayu. Iaitu untuk mendakwa bahawa tanah Melayu ini juga tanah Arab, India dan Cina lalu membawa agenda perkauman mereka yang menghakis kepentingan dan kedudukan bangsa Melayu sebagai bangsa pribumi.

Bahkan sebaliknya mereka berasimilasi dengan orang Melayu dan menggunakan identiti Melayu.

Sekiranya Malaysia tidak lagi dianggap sebagai tanah asal usul bangsa Melayu, maka di manakah tanah Melayu?

Wilayah Melayu di selatan Thailand sedang menghadapi cabaran Siamisasi yang menghakis jati diri Melayu.

Manakala di Indonesia yang merangkumi pelbagai kaum dan etnik rumpun Melayu, kaum Jawa lebih kuat untuk menguasai negara berbanding kaum Melayu di sana.

Di Singapura, ia telah hampir hilang jati diri kemelayuannya.

Individu yang dinobatkan sebagai pengasas negara Singapura yang menjadi sebahagian Tanah Melayu pun bukan daripada orang pribumi.

Maka sebab itulah orang Melayu di Malaysia begitu sensitif dengan hak dan kepentingan mereka sebagai anak jati di watan ini.

Benar bahawa Malaysia mempunyai rakyat yang berbilang kaum. Bukan sahaja Malaysia bahkan banyak negara selain Malaysia juga mempunyai pelbagai kaum dan etnik.

Namun kepelbagaian ini tidak seharusnya memadamkan identiti dan hak kaum pribumi yang lebih dahulu mendiami negara tersebut.

Kenyataan ini bukan bermakna mahu menindas kaum bukan Melayu yang sudah menjadi warganegara Malaysia, ataupun mengusir mereka pulang ke negara asal usul leluhur mereka.

Tetapi hanya untuk menyedarkan terhadap kewajipan dan tanggungjawab generasi muda untuk menjaga amanah leluhur orang Melayu sahaja.

Kerana kaum Cina, walau di negara mana pun mereka berada, mereka sudah mempunyai sebuah negara bangsa yang besar dan kuat.

Tiada siapa yang dapat menyangkal bahawa tanah asal usul leluhur kaum Cina ialah di tanah besar China dan Taiwan.

Begitu jugalah kaum India, berasal dari benua India.

Jadi tidak salah apabila orang Melayu mahu mempertahankan kedudukan Malaysia sebagai tanah Melayu dan orang Melayu sebagai kaum pribumi di tanah ini.

Kerana Malaysia mengamalkan konsep integrasi, maka diharapkan kaum-kaum lain dapat memahami dan bertoleransi dengan sensitiviti orang Melayu di Malaysia.

Apabila berlaku insiden di Teluk Intan, terdapat orang Cina mengibarkan bendera negara China secara terbuka di khalayak awam, ia tidak sama dengan bendera Palestin yang dikibarkan oleh orang Malaysia di Malaysia.

Mengibarkan bendera Palestin bermaksud solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin mempertahankan tanah air mereka daripada diceroboh dan dirampas oleh kaum asing.

Manakala mengibarkan bendera negara lain, contohnya bendera negara China, lebih-lebih lagi yang mengibarkan itu orang yang mendapat kewarganegaraan Malaysia, apa simboliknya?

Adakah sebagai tanda solidariti terhadap rakyat negara China? Solidariti terhadap isu apa?

Ataupun mereka meraikan kejayaan perjuangan bangsa mereka di Malaysia? Jangan sampai Melayu hilang tanah!

USTAZ MUHAMMAD RIF’AAT RAZMAN
Ahli Jawatankuasa Kerja
Dewan Ulamak PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 25/10/2024

- Advertisement -