KUALA LUMPUR: Tiada gunanya mengadakan usaha pembangunan di dalam sesebuah negara, tetapi akhirnya warganegara itu sendiri terbeban kerana kerajaan memerintah mengambil terlalu banyak duit daripada rakyat.
Pendakwah, Ustaz Zaharudin Muhammad menegaskan demikian dalam satu ceramah bertajuk Ulasan Belanjawan 2025: Perbandingan Dasar Belanjawan Negara Hidayah dan Negara Jibayah.
“Perkara sebegini dinyatakan oleh Imam Qurthubi iaitu kalau nanti kerajaan mengambil duit daripada rakyat sampai rakyat akhirnya terbeban ke tahap terpaksa meminjam bank, maka apa gunanya buat sesuatu untuk negara, tetapi rakyat yang terbeban?
“Jadi, prinsip dasarnya adalah bahawa harta seseorang iaitu rakyat tidak boleh diambil kecuali ketika waktu darurat yang mana ianya perlu diambil secara terbuka dan bukannya secara diam-diam.
“Ini yang saya telah sebut banyak kali cukai hukumnya ialah haram tambahan pula, mana-mana cukai yang tiada nas dalam Al-Quran hukumnya adalah tetap haram yang mana tiada khilaf ulama jika mengaji bab cukai dalam Islam,” ujarnya.
Menurut beliau, mana-mana negara yang ekonominya tidak boleh bergerak tanpa cukai akan dikenali sebagai Negara Jibayah di mana berbeza dari Negara Hidayah iaitu didirikan menurut panduan al-Quran dan as-Sunnah dan menggerakkan ekonomi Islam.
“Istilah negara ‘hidayah’ dan ‘jibayah’ ini dibuat oleh seorang tokoh Islam terulung iaitu Ibnu Khaldun dalam tulisan kitab Muqaddimah antaranya menyentuh berkaitan konsep ekonomi dunia ini.
“Maksud Negara Jibayah yang lebih mudahnya ialah pengutip cukai yang mana negaranya tidak boleh melakukan sebarang aktiviti ekonomi tanpa mengutip cukai,” jelas usahawan itu.
Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Buloh itu turut menyatakan bahawa tiada riwayat yang melaporkan Nabi Muhammad SAW mengenakan cukai kepada rakyat termasuk ketika berlakunya setiap siri peperangan dilalui.
Kata beliau, Nabi Muhammad SAW sendiripun tidak pernah memaksa rakyat Madinah untuk membayar cukai bagi menampung keperluan perbelanjaan dalam pemerintahan termasuk peperangan yang dihadapinya.
“Nabi Muhammad SAW sendiri pun turun bergotong-royong bersama-sama rakyat para Sahabatnya membina parit ketika berlakunya peperangan Khandaq.
“Ini merupakan cara yang ditunjukkan oleh Negara Hidayah yang mana juga ditunjukkan oleh zaman Khulafa Ar-Rasyidin dan juga negara-negara Islam ketika itu yang mengamalkan prinsip tersebut.
“Jadi Negara Hidayah tidak mengenakan cukai terhadap rakyatnya melainkan dengan kadarnya telah ditetapkan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/2024
Negara Jibayah bebani rakyat dengan banyak cukai
- Advertisement -