Kibar bendera China: Gesa tindakan tegas KDN

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu serius menangani insiden mengibarkan bendera negara China sepertimana kejadian di Menara Condong, Teluk Intan, baru-baru ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Alor Setar yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azzamuden berkata, tindakan tegas perlu diambil dan bukannya berakhir dengan hanya memohon maaf.

“Biarlah kejadian di Teluk Intan itu menjadi insiden terakhir dalam negara kita. Sebelum ini sudah kerap berlaku, tapi tiada tindakan. Hanya berakhir dengan meminta maaf,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional itu turut menegaskan lagi, perbuatan yang tidak beretika serta biadab itu tidak wajar dibiarkan berlalu atau selesai hanya dengan permohonan maaf.

“Sekiranya semudah itu, seolah-seolah negara sudah tidak perlu kepada undang-undang lagi,” bidasnya yang terdahulu telah meluahkan ketidakpuasan hati beliau berkenaan insiden itu di media sosialnya.

Kata Afnan, insiden menjulang bendera negara asing berwarna merah tersebut di dalam negara ini dilihat semakin menjadi-jadi mutakhir ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyoalkan sama ada perbuatan itu satu lagi normalisasi yang sedang ditanam oleh pihak tertentu untuk menunjukkan gelombang merah kononnya sedang melanda negara.

“Mana perginya jiwa patriotik? Mana perginya rasa hormat pada negara?
Mana perginya perasaan cinta kepada tanah air? Memelihara hubungan diplomasi perlu, tapi jangan sampai menggadai maruah negara,” tempelaknya.

Justeru peringat beliau, jangan ada pihak yang cuma menunjukkan kebiadaban kerana insiden seumpama itu boleh mencetus kegusaran awam serta menyentuh kedaulatan negara.

“Tidak kira siapa, apa latar belakang agama, apa warna politik, dari mana negara asalmu, kalau duduk di Malaysia, mesti kibarkan bendera Malaysia!” tegasnya lagi.

Video insiden pengibaran bendera negara China di Menara Condong, Teluk Intan yang dikatakan sempena Pesta Tanglung itu tular meluas di media sosial.

Kejadian itu mendapat kecaman ramai pihak apatah lagi, difahamkan dirasmikan oleh Menteri Kerajaan Perpaduan PH-BN serta mendapat liputan daripada Exco Kerajaan Negeri Perak sendiri. – HARAKAHDAILY 25/10/2024