Inisiatif DUN Beserah mencari dana ‘dihentam’ Umno

Ahmad Azlan Abu Bakar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Datuk Andansura Rabu untuk mencari dana kepada rakyat dan gerak kerja telah disekat oleh Umno Pahang.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar, berkata Umno Pahang semakin terdesak kerana terlalu terkesan dengan persoalan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

“Sekatan peruntukan ini jelas memperlihatkan kezaliman Umno yang mahu menyekat gerak kerja wakil rakyat pembangkang daripada berkhidmat untuk rakyat.

- Advertisement -

“Tindakan ini bukan sahaja menindas, malah menghina rakyat Pahang yang sepatutnya diwakili dengan penuh amanah. Namun, sekatan ini tidak pernah melemahkan semangat kami,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Khamis.

Ahmad Azlan berkata, ADUN Beserah sama seperti wakil rakyat pembangkang yang lain yang terus berusaha dengan pelbagai inisiatif bagi mencari dana untuk berkhidmat kepada rakyat walaupun tanpa peruntukan kerajaan.

“Inilah hakikat yang membuat Umno Pahang dan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tidak tidur lena kerana mereka gagal menghalang khidmat kami, apatah lagi jika kami diberi peruntukan yang sepatutnya.

“Lebih membimbangkan sejak Umno ‘bercium’ dengan DAP, kezaliman mereka semakin menjadi-jadi. Seolah-olah mereka menggunakan wang kerajaan seperti harta pusaka nenek moyang mereka sendiri.

“Perbuatan mereka ini bukan sahaja melampaui batas, tetapi juga jelas derhaka terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat dan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.

Beliau yakin bahawa Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan membawa gelombang perubahan yang sedang bergerak ini bakal menumbangkan Umno Pahang.

“Pahang akan diterajui oleh PAS dan Perikatan Nasional. Insya-Allah, kezaliman ini akan sampai ke penghujungnya,” katanya.

Terdahulu, Umno Pahang melalui media proksinya, Pahangku Media berhubung isu sumbangan rakyat kepada Tabung Prihatin DUN Beserah dijadikan bahan untuk menghentam ADUN Beserah secara tidak berasas. – HARAKAHDAILY 25/10/2024