Indonesia nyatakan hasrat sertai BRICS

Sidang Kemuncak BRICS 2024 telah diadakan di Kazan, Rusia pada 22 hingga 24 Oktober lalu. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

JAKARTA: Indonesia menyatakan hasratnya untuk menyertai kesatuan ekonomi BRICS yang ketika ini sedang pesat membangun sebagai kesatuan ekonomi utama dan menyumbang 35 peratus daripada pengeluaran ekonomi global.

- Advertisement -

“Penyertaan Indonesia ke dalam BRICS adalah manifestasi dasar luar negara yang bebas aktif. Itu tidak bermakna kami menyertai blok tertentu, tetapi kami mengambil bahagian secara aktif dalam setiap forum,” kata Menteri Luar Indonesia, Sugiono.

Tambah beliau, kesatuan ekonomi berkenaan adalah bersesuaian dengan matlamat utama kerajaan di bawah pimpinan Presiden baharu, Prabowo Subianto khususnya mengenai keselamatan makanan dan tenaga, lapor Reuters.

“BRICS sesuai dengan program utama kerajaan Prabowo, terutama yang berkaitan dengan keselamatan makanan dan tenaga, pembasmian kemiskinan dan kemajuan sumber manusia.

“Indonesia melihat kesatuan itu sebagai ‘kenderaan’ untuk memajukan kepentingan selatan global,” katanya.

Sementara itu, seorang profesor jurusan hubungan antarabangsa di Universiti Jenderal Achmad Yani, Yohanes Sulaiman mempersoalkan faedah Indonesia menyertai BRICS kerana ekonomi boleh ditambah baik melalui hubungan dua hala.

“Lebih baik mengikut daripada ketinggalan. Ia tidak semestinya bermakna dasar luar Prabowo lebih berpegang kepada timur berbanding barat, sebaliknya sekadar menunjukkan Indonesia tidak mahu ketinggalan,” katanya.

Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata lebih daripada 30 negara telah menyatakan hasrat untuk menyertai BRICS, walaupun tiada penerangan jelas tentang cara bagaimana penambahan negara ke dalam kesatuan itu akan berfungsi.

BRICS ketika ini terdiri daripada sembilan negara tetap iaitu Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). -Agensi / – HARAKAHDAILY 25/10/2024