18 mangsa ribut ditempatkan di PPS Kemaman

Maliaman Kassim
- Advertisement -

KUALA NERUS: Seramai 18 mangsa dari tujuh keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut petir dan hujan batu di sekitar bandar Chukai, Kemaman, semalam telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sivik Kampung Gong Pauh.

Menurut Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, mangsa terdiri daripada lapan lelaki, enam wanita, dan dua kanak-kanak telah ditempatkan di PPS berkenaan setelah rumah mereka mengalami kerosakan teruk.

- Advertisement -

“Sebanyak 248 rumah dilaporkan terkesan akibat kejadian ribut tersebut, dengan kerosakan paling ketara melibatkan atap rumah, termasuk Sekolah Menengah Agama Al-Falah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media program ‘Terbang ke Kuala Lumpur’ bersama Anak Yatim Piatu Negeri Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, semalam.

Menurut Maliaman, mangsa yang rumahnya mengalami kerosakan teruk dijangka akan mengambil masa sebelum dapat kembali ke kediaman masing-masing.

“Ini berbeza dengan situasi banjir yang surut dan mangsa boleh kembali segera. Dalam kes ini, proses pembaikan rumah mungkin mengambil masa,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa mangsa yang terjejas telah menerima bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kemaman.

“Hari ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut dijangka menyumbang bantuan makanan,” katanya.

Selain itu, katanya, seorang mangsa dilaporkan mengalami kecederaan patah kaki kanan akibat dihempap runtuhan pondok di Pantai Mak Nik dan kini sedang dirawat di Hospital Kemaman. – HARAKAHDAILY 25/10/2024

- Advertisement -