SEREMBAN: Pendakwah bebas, Ustaz Rosmin Adam telah memfailkan saman terhadap defenden, iaitu akhbar Negeri Kita dan Ketua Editornya, Ahmad Shahir Mohd Shah yang juga merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan.
Menurut beliau, saman itu dibuat berikutan berita disiarkan akhbar Negeri Kita Edisi 2 2024 di mana antara intipati terbitan fitnah dilakukan adalah kononnya membuat tohmahan bahawa beliau telah melemparkan fitnah terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Katanya, writ saman itu telah difailkan oleh peguam beliau Rafique Rashid pada Rabu 23 Oktober di Mahkamah Tinggi Malaya, Seremban.
“Terbitan akhbar tersebut dibuat dengan tujuan mengaitkan saya secara peribadi berikutan sebuah klip video Kuliah Subuh yang saya sampaikan di Masjis Sikamat, Seremban pada 1 April 2024 yang lalu.
“Malah, video tersebut juga menggambarkan seolah-olah saya sengaja mengubah ayat-ayat Al-Quran bagi menyokong agenda tertentu. Penyuntingan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja mengubah mesej sebenar ceramah disampaikan,” katanya.
Jelas beliau, tujuan saman fitnah itu difailkan adalah bagi mengembalikan reputasi beliau dan menghentikan penggantungan tauliah ceramah beliau oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan akibat dari tuduhan bersifat jahat tersebut.
“Saya juga menuntut ganti rugi berbentuk teladan memandangkan tohmahan sedemikian telah dilakukan oleh akhbar yang dikelolakan oleh wakil Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya kepada Harakahdaily hari ini. – HARAKAHDAILY 24/10/2024