‘Universiti tidak boleh dilihat seperti jabatan kerajaan’

Dato' Sri Saifuddin Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Universiti tidak boleh ditadbir dan diuruskan sama seperti sebuah jabatan kerajaan biasa yang lain, kata Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota).

- Advertisement -

Menurut beliau, antara contoh perbezaan itu adalah universiti tidak boleh dinilai menggunakan konsep measurement ataupun pengukuran, tetapi harus menggunakan konsep evaluation atau penilaian.

Beliau menyatakan perkara ini sewaktu mengajukan soalan tambahan kepada soalan asalnya yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah langkah Kementerian bagi memastikan insiden seperti larangan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang melarang kakitangannya membuat kenyataan awam, tidak berulang semula.

“Saya kira jawapan yang diberikan itu sangat melegakan. Saya fikir itu adalah antara langkah yang progresif menuju reformasi pendidikan yang lebih luas termasuklah soal memastikan universiti itu ada rohnya.

“Yang Berhormat menimbulkan perkara yang sangat mustahak bahawa universiti tidak boleh dilihat seperti sebuah jabatan kerajaan yang lain,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada ‘Excellence Without Soul’ yang dikarang oleh Harry Lewis yang ada membincangkan tentang seorang bekas profesor di Universiti Harvard yang pernah menjadi pentadbir di bawah pentadbiran Clinton.

Menurut Saifuddin, tokoh itu kemudiannya kembali semula ke Harvard sebagai Presiden dan terbawa-bawa dengan gaya pentadbir sewaktu mentadbir universiti itu dan terlupa tentang cara, gaya dan budaya universiti.

“Universiti ada kaedahnya, ada budaya pentadbirnya dan saya harap ini akan dapat Yang Berhormat teruskan usaha yang terpuji. Kami akan mendukungnya,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir dalam jawapan kepada soalan asalnya berkata, isu itu sebenarnya terkait juga dengan Akta 605 iaitu Akta Badan-badan Berkanun berkaitan dengan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan mereka.

Katanya, antara langkah yang telah beliau ambil untuk memastikan arahan itu tidak hanya ditafsirkan secara sehala apatah lagi dalam konteks sebuah institusi pendidikan tinggi universiti.

Kerana itu, beliau telah pun meminta supaya Akta 605 itu dilihat semula bagi memberikan pengecualian dalam konteks universiti awam kerana universiti awam itu dianggap sebagai badan berkanun. – HARAKAHDAILY 24/10/2024

- Advertisement -