KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperkenal sistem KAWOH Library UMK berteknologi tinggi bagi membantu penyelidik dan pelajar mengakses carian bahan-bahan perpustakaan dengan lebih mudah dan pantas.
Ketua Pustakawan UMK, Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu (PPI), Azman Hashim berkata, KAWOH (Knowledge, Access, Wide, Open dan Hub) merupakan sistem carian bahan perpustakaan lebih efisien.
Katanya, KAWOH UMK dibangunkan pada September lalu sebagai sistem Knowedge Discovery Service bertujuan memudahkan pengguna membuat carian bahan-bahan Perpustakaan UMK.
“Ia merupakan enjin jarian yang menghimpunkan metada dari kesemua Sistem Perpustakaan yang terdiri dari Sistem Sierra, MyScholar, Discol dan Epams.
“KAWOH UMK juga mengindeks metada dari beberapa sumber terbuka seperti Directory of Open Access Journal (DOAJ), Directory of Open Access Book (DOAB), HathiTrust Digital Library dan repositori terbuka dari beberapa universiti awam di Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis peluncuran Program Semarak Ilmu 2024 bertemakan “Pembudayaan Ilmu Sepanjang Hayat di Pasaraya Mydin Tunjong semalam.
Karnival itu sebagai peluang UMK menunjukkan komitmen memperkasa pendidikan dan meningkatkan literasi dalam kalangan rakyat. Ia berlangsung 22 sehingga 26 Oktober ini.
Kata beliau juga sehingga kini 16 juta metadata diindeks ke dalam KAWOH UMK untuk menjadikan sistem yang mampu membantu penyilidik dan pelajar mengakses kepada sumber yang baik.
“Karnival ini menghimpunkan 73 institusi atau organisasi yang terlibat dengan pameran, jualan reruai dan jualan usahawan termasuk 10 penerbitan universiti awam di bawah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).
“Kami juga mendapat kerjasama 13 penerbit buku tersohor seperti Syarikat Muda Osman (SMO), Love Reading, Rimbunan Ilmu, Empayar Intelek, Jalur Inovasi, Wiserf dan lain-lain penerbit,” katanya.
Sementara itu Pengarah Karnival Semarak Ilmu, Amirul Firdaus Zilah berkata, karnival tersebut turut menghimpunkan seramai 150 bakal teknologis dan saintis muda mempamerkan daya kreativiti dan inovasi dalam dunia digital. – HARAKAHDAILY 24/10/2024