Ulama tanam benih Islam di Kelantan lebih 30 tahun

- Advertisement -

KOTA BHARU: Benih-benih Islam yang ditanam lebih 30 tahun lalu oleh Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat membolehkan Kelantan dilapor sebagai negeri kedua paling selamat di Malaysia selepas Sabah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, ulama menabur benih untuk mewujudkan Kelantan sebagai baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur.

Katanya, almarhum memperuntukkan dana yang besar kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi memperluaskan pendidikan Islam termasuk mewujud sekolah tahfiz dan sains.

“Apabila manusia dididik dengan agama sejak usia muda lagi mereka lebih faham soal dosa dan pahala.

“Dan sekarang kerajaan negeri memperkenal Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan bagi mendidik rakyat dengan agama,” katanya pada majlis Ramah Mesra di Dewan Besar YIK Tunjong semalam.

Turut hadir pegawai YIK, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) dan Institut Latihan Darul Naim (ILDAN).

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada laporan baru-baru ini meletak Kelantan di kedudukan kedua indeks jenayah dengan skor 96, manakala Terengganu berada di tangga ketiga (100).

DOSM melapor tahap jenayah di Malaysia meningkat sebanyak 3.2 peratus tahun lalu, dengan indeks jenayah keseluruhan melibatkan kes serangan dan jenayah harta benda naik kepada 52,444 kes.

Manakala laporan yang diterbitkan Institut Ekonomi dan Keamanan berpangkalan di Sydney, Australia turut mengangkat Malaysia sebagai negara ketiga paling selamat di Asia Pasifik, di belakang New Zealand dan Singapura.

Wan Roslan juga berkata, masyarakat bukan Islam di Kelantan juga hidup dalam keadaan yang harmonis. – HARAKAHDAILY 24/10/2024