ALOR SETAR: Isu federalisme fiskal negeri-negeri sewajarnya diangkat sebagai tema utama wacana Belanjawan Negara 2025 secara mendalam di peringkat Persekutuan.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Hamadah Mohamad Shauki berkata, perkara itu amat perlu untuk menanggapi pelbagai tuntutan hak fiskal negeri selain diperhalusi secara lebih mendalam.
“Permohonan pertambahan fiskal di peringkat negeri merupakan satu keperluan kerana berlaku peningkatan kos selain suasana ekonomi yang menunjukkan trend menaik (inflated).
“Jadi apa yang disebut Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar permohonan menaikkan fiskal RM200 juta setahun atas pengorbanan Kedah ‘mengabaikan’ tanah-tanah pertanian dari dibangunkan demi ‘makanan negara’ adalah relevan dan adil,” kata beliau.
Jelasnya lagi, nilai yang dituntut Kedah itu adalah anggaran ‘opportunity cost’ atau ‘kos peluang’ jika tanah pertanian tersebut ditukar ganti kepada tanah komersial.
Tuntutan itu juga termasuk RM100 juta kepada pemeliharaan dan pemuliharaan Hutan Simpan Ulu Muda terhadap kelestarian sumber air untuk digunakan oleh penduduk Kedah dan negeri-negeri jirannya.
Dalam pada itu Kerajaan Persekutuan juga katanya, perlu membuat penilaian semula berkenaan pembayaran pajakan air mentah oleh Pulau Pinang di bawah Perkara 167(7) Perlembagaan Persekutuan iaitu Triti Kedah bertarikh 6 Mei 1869.
“RM10,000 dan pertambahan RM10 juta yang dilaksanakan sebelum ini, masih tidak sepadan dengan penilaian semasa keseluruhan negeri Pulau Pinang berdasarkan harga semasa.
“Kegagalan pembayaran sumber air mentah ini menyebabkan Kedah juga kehilangan hasil negeri,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Hamadah juga menyebut berkenaan pemberian geran perkapita kesetiap negeri yang sepatutnya disemak semula berdasarkan Bahagian I, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, agar dinilai selaras dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Beliau menyentuh berhubung Anggaran Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri bagi tahun 2023 di mana Kedah menerima RM518.6 juta daripada RM8.81 billion yang diperuntukkan.
Jumlah itu ujar beliau, masih jauh dibandingkan perbelanjaan kerajaan yang telah mencecah angka melebihi RM400 bilion.
“Belanjawan 2025, pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri diunjurkan akan mengalami pertumbuhan 5.9 peratus kepada RM9.3 bilion.
“Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Kedah mengharapkan, prinsip federalisme antara Persekutuan dan negeri perlu diperkukuhkan, sementara isu tuntutan fiskal harus dibahas dan diteliti serta mendalam demi keadilan kepada negeri-negeri tanpa mengira fahaman politik,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 24/10/2024