Titah Adendum gemparkan Dewan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini menyaksikan kekecohan apabila Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan isu mengenai Titah Adendum yang didakwa merujuk kepada pembebasan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, dari penjara dan dikenakan tahanan rumah.

- Advertisement -

Dalam ucapannya, Takiyuddin menjelaskan bahawa beliau sekadar mengulangi kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang sebelum ini mengesahkan bahawa titah berkenaan wujud.

Isu tersebut mencetuskan reaksi segera daripada Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang bangkit mempersoalkan kesahihan tindakan itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau menegaskan bahawa peraturan jelas melarang ahli dewan daripada menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu dalam perbahasan.

Peraturan Mesyuarat 36(8) secara spesifik melarang sebarang rujukan langsung kepada Raja-raja Melayu dalam sebarang perbincangan, kecuali dalam hal yang melibatkan rang undang-undang berkaitan Raja-raja atau perkara yang dibenarkan.

Namun begitu, Timbalan Speaker Dewan, Alice Lau, menolak bantahan yang dikemukakan oleh Rayer.

Dalam penjelasannya, beliau menyatakan bahawa isu tersebut dibenarkan untuk dibincangkan dalam konteks yang sedang diperdebatkan dan tidak melanggar peraturan mesyuarat yang dinyatakan.

Keputusan Timbalan Speaker itu mencetuskan perdebatan hangat, dengan beberapa ahli dewan lain turut campur tangan dalam perbincangan.

Kekecohan tersebut berlangsung beberapa minit sebelum suasana kembali terkawal, dan perbahasan diteruskan.

Walaupun begitu, kelihatan Ahli Parlimen Jelutong masih tidak berpuas hati dengan keputusan Timbalan Speaker, yang menolak bantahan tersebut.

Persidangan diteruskan dengan perbahasan mengenai perkara lain yang berkaitan. – HARAKAHDAILY 24/10/2024