Putin, Guterres adakan pertemuan selepas dua tahun

Vladmir Putin (kiri) dan Antonio Guterres. (FOTO: Fox News)
- Advertisement -

KAZAN: Presiden Rusia, Vladimir Putin dijadualkan akan bertemu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres buat kali pertama dalam tempoh lebih dua tahun pada Khamis, ketika beliau berdepan permintaan daripada negara sekutu BRICS untuk menamatkan konflik di Ukraine.

Pertemuan itu akan berlangsung pada hari terakhir sidang kemuncak BRICS di bandar Kazan, Rusia, pertemuan yang diharapkan oleh Putin akan membantu membentuk barisan negara yang bersatu bagi ekonomi yang sedang pesat membangun menentang Barat, lapor Reuters.

- Advertisement -

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Rusia, kedua-dua pemimpin itu dijangka membincangkan konflik yang sedang berlangsung di Ukraine, selain krisis yang semakin meruncing di  rantau Timur Tengah.

Kali terakhir Putin dan Guterres bertemu antara satu sama lain adalah pada minggu pertama serangan Rusia ke atas Ukraine, apabila Guterres melakukan lawatan ke Moscow ketika negara itu mengepung wilayah Mariupol di selatan Ukraine.

Guterres sebelum ini telah berulang kali mengkritik serangan tentera Moscow terhadap Ukraine, dengan mengatakan ia sebagai ‘berbahaya’ untuk dunia.

Sejak itu, beliau telah terlibat dalam usaha damai antara kedua-dua pihak, di samping membantu menjadi ‘orang tengah’ perjanjian yang membolehkan Ukraine mengeksport bijirin dengan selamat dari pelabuhannya pada 2022.

Jurucakap PBB, Farhan Haq dalam pada itu berkata, Guterres akan menggunakan pertemuan itu untuk menegaskan semula pendiriannya mengenai situasi perang yang sedang berlangsung Ukraine.

“Beliau (Guterres) sedang bersedia untuk menawarkan pengantaraan, tetapi menunggu bila ‘syaratnya sesuai’.

“Jelas sekali beliau bersedia, apabila kedua-dua pihak bersedia untuk menawarkan perkhidmatannya, dia akan terus memantau dan melihat bila keadaan itu betul,” katanya.

Sementara itu, Ukraine telah membidas lawatan Guterres ke Rusia, dengan Kementerian Luar negara itu turut mengecamnya kerana merancang untuk bertemu apa yang disebut sebagai ‘Penjenayah Putin’. -Agensi/– HARAKAHDAILY 24/10/2024