Petani hadapi penurunan harga padi, elak manipulasi

Sabri Azit
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu penurunan harga padi mengejutkan petani perlu ditangani segera bagi mengelakkan manipulasi harga.

- Advertisement -

Menurut Sabri Azit (PN-Jerai), Bernas menetapkan harga belian padi pada kadar RM1,400/tan, namun beberapa musim kebelakangan ini pengilang swasta menawarkan harga yang lebih tinggi sehingga RM1,800/tan.

Katanya, kenaikan itu pada mulanya memberi kelegaan besar kepada petani yang diibaratkan seperti durian runtuh.

Namun, beliau berkata, situasi itu tidak bertahan lama apabila harga tersebut tiba-tiba turun kembali kepada kadar belian Bernas, iaitu RM1,400/tan, meskipun musim menuai masih belum berakhir.

“Panas yang dijangka hingga ke petang, hujan pula di tengah hari, tidak lama selepas itu, musim mengerat pun belum berakhir, harga yang ditawarkan RM1,800 tiba-tiba turun sama seperti belian Bernas RM1,400, keadaan ini mengecewakan petani yang belum mengambil padi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Sabri juga menjelaskan bahawa perkara itu telah dibangkitkan kepada Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian, Datuk Badrul Hisham Mohd, semasa sesi libat urus Reformasi Padi dan Beras Negara baru-baru ini di Parlimen.

Menurutnya, Badrul menegaskan bahawa harga padi berada di bawah kawalan kementerian.

“Saya ingin merujuk kenyataan ini agar belian padi tidak di manipulasi bagi keuntungan sepihak,” katanya.

Badrul juga menyatakan jika harga dinaikkan kepada RM1,800, pengguna akhir akan turut merasai kesannya dalam bentuk kenaikan harga barang-barang lain.

Sementara itu, Sabri berkata, petani telah memberi pulangan RM90 bilion hasil kepada kerajaan di seluruh negara.

Justeru itu beliau menyeru agar reformasi besar-besaran dilaksanakan bagi memastikan petani memperoleh pendapatan yang lebih tinggi.

“Saya mengalu-alukan kenaikan subsidi sebanyak RM500/tan, namun begitu tidak banyak membantu petani disebabkan pemutuan harga dan serangan penyakit menyebabkan petani seperti rutin biasa terpaksa membuat kerja luar bagi menampung sesuap nasi keluarganya,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2024