KUALA LUMPUR: Cukai jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat malah akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang diimport seperti ikan salmon dan avakado.
Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, kenyataan Belanjawan 2025 itu adalah terlalu umum dan mengelirukan kerana sememangnya ketika ini cukai jualan tidak dikenakan ke atas barangan makanan asas.
“Kalau kerajaan sebetulnya hendak membantu rakyat, sepatutnya kerajaan umumkan perluasan skop barang keperluan asas yang tidak akan dikenakan cukai jualan.
“Sekadar kata cukai jualan tidak akan dikenakan kepada barang keperluan asas itu yang berlaku pada hari ini, barang keperluan asas mana yang dimaksudkan, mengapa tidak diperluaskan?
“Jadi sebab itu saya kata amat mengelirukan, tidak jelas dan amat kabur,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau yang juga bekas Menteri Pendidikan, turut mempersoalkan bahawa adakah kerajaan akan memperluaskan skop barangan keperluan bukan asas akan dikenakan cukai jualan.
“Jika ini berlaku saya khuatir banyak barangan utama yang digunakan oleh rakyat akan ditakrifkan sebagai barangan bukan keperluan asas dan dikenakan cukai jualan,” katanya.
Sementara itu, beliau merujuk kepada buku Belanjawan 2025 didapati tiada salinan cetak iaitu penyata hasil pada muka surat akhir.
“Selepas semak dalam versi atas talian barulah nampak ada penyata tersebut, jadi apakah ini bermakna kerajaan menunggu sehingga saat-saat akhir Belanjawan hendak dibentangkan?
“Kerajaan masih ragu-ragu dan tidak pasti apa yang hendak dilaksanakan, jadi tidak mahu jadi ralat macam tahun lepas keluarkan dalam buku bercetak, letakkan dalam salinan elektronik buku tersebut?
“Jadi saya mohon kerajaan beri penjelasan kepada rakyat supaya dalam konteks ini kita, Ahli-ahli Parlimen dapat tahu dan rakyat dapat bahaskan apa sebenarnya yang hendak dikenakan cukai apabila perluasan skop ini dibuat,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2024