BATU PAHAT: Lajnah Kesenian dan Kebudayaan (LESTARI) PAS Pusat telah mengadakan ziarahi ke atas pelakon aksi terkenal tanah air, Azlan Komeng di kediaman ayahnya, di sini semalam.
Ahli Jawatankuasa LESTARI, Kamaruddin Kepol yang lebih dikenali sebagai Din Kepol menziarahi Azlan sebaik dimaklumkan pelakon itu dibenarkan pulang dari Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Azlan atau nama sebenarnya Mohd Azlan Kamiran telah mendapat rawatan beberapa hari di hospital tersebut selepas terlibat kemalangan jalan raya bersama keluarganya di Kuala Lipis, Pahang.
Beliau ekoran tragedi tersebut telah mengalami kecederaan patah pada kedua-dua belah kaki, pinggul dan tangan dalam kejadian yang berlaku pada 1 Oktober lalu itu.
Din Kepol yang hadir bersama wakil LESTARI Johor telah menyerahkan sumbangan LESTARI PAS Pusat dan Muslim Care Malaysia (MCM) bagi membantu Azlan dan keluarganya.
“Alhamdulillah LESTARI terus membantu para penggiat seni khasnya mereka yang melalui musibah dan sebagainya,” kata Kamaruddin yang juga seorang penyanyi rock terkenal di Batu Pahat.
LESTARI PAS Pusat dipimpin Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor beritahu beliau, turut mendoakan agar Azlan akan segera sembuh dan tabah menghadapi ujian hidup yang menimpanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2024