KOTA BHARU: Penggunaan aplikasi Craft On The Go (COTG) dibangunkan Kraftangan Malaysia sejak tahun 2020 sebagai salah satu inisiatif pendigitalan kraf.
Program Craft On The Go bertujuan memperkenalkan pusat jualan dan bengkel usahawan kraf.
Direktori dan geolokasi usahawan kraf disediakan dalam bentuk aplikasi mudah alih (mobile apps) bagi meningkatkan kebolehcapaian maklumat berkaitan usahawan kraf di seluruh Malaysia.
Aplikasi COTG boleh dimuat turun melalui aplikasi telefon pintar di Play Store dan Apps Store.
Aplikasi COTG merupakan kandungan yang boleh didapati dalam COTG seperti profail usahawan kraf, maklumat berkenaan produk kraf, platform media sosial usahawan kraf dan lokasi pusat jualan.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, pengguna boleh menggunakan aplikasi COTG bagi menghubungi usahawan kraf secara terus untuk ke lokasi yang dinyatakan.
Katanya, kemudahan aplikasi COTG memberi banyak manfaat kepada pengguna untuk mendapatkan produk kraf hasil kerja tangan daripada usahawan tempatan.
“Dan secara tidak langsung membantu mengkomersialkan produk kraf Malaysia kepada masyarakat tempatan dan pelancong,” katanya pada kenyataan di sini.
MOTAC melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) turut mengadakan program media turun padang di Kelantan.
Pada program itu wakil media melawat pusat jualan dan bengkel Ibrahim Deraman, Adiguru Kraf Batik Blok dan Nur Atikah Othman seorang usahawan kraf batik (canting halus) menggunakan aplikasi COTG.
Selain COTG, Kraftangan Malaysia turut membangunkan platform digital MYCRAFTSHOPPE dengan menawarkan perkhidmatan jualan beli secara dalam talian.
Ia menjadi hub informasi industri kraf berkonsepkan ‘global reach local identity’.
Kraftangan Malaysia juga memperkenalkan platform pemasaran dalam talian E-Kraf Bazar bagi mempromosi dan memasarkan produk kraf tempatan menerusi platform media sosial iaitu Facebook. – HARAKAHDAILY 24/10/2024