Kerjasama agensi kekang penyeludupan lembu di sempadan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi mengekang kegiatan penyeludupan lembu dan kambing dari negara jiran.

- Advertisement -

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, perkara itu dibangkitkan pada pertemuan dengan menteri Dato’ Seri Mohamad Sabu baru-baru ini.

Katanya, isu tersebut dapat direalisasikan sekiranya semua pihak bekerjasama termasuk pimpinan di peringkat akar umbi untuk memastikan gejala tersebut tidak merebak dalam sektor penternakan.

“Menteri bangkitkan di sempadan Kelantan berlaku kemasukan lembu dan kambing tidak mengikut peraturan ditetapkan kerajaan.

“Kerajaan akan melaksanakan satu mekanisma dan kaedah baharu untuk mengekang serta mengurangkan berlaku penyeludupan sehingga menjejaskan industri penternakan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Apo Kobar Pok Tani (KAPOK) DUN Pasir Pekan dan Dapur Hijau Parlimen Tumpat di Dewan Wisma Ibadurrahman DUN Pasir Pekan, hari ini. (Foto atas)

Turut hadir ADUN Pasir Pekan, Dato’ Bentara Kanan, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob; ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah dan ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan.

Tuan Mohd Saripudin berkata, kerjasama antara Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterina akan dipertingkatkan.

Menurutnya juga sempadan Kelantan yang hanya dibatasi dengan Sungai Golok dan jarak yang panjang menyukar usaha membanteras gejala tersebut.

“Bagaimanapun kerajaan negeri mempunyai mekanisma untuk mengekang penyeludupan haiwan ruminan khusus membabitkan penguatkuasaan Enakmen Lembu Kerbau Kelantan 1968,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/10/2024