RAMAI kalangan yang berpendapat bahawa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sama sahaja dengan parti-parti lain yang menganut pelbagai ideologi, bersifat oportunis dan pragmatik sehingga boleh bekerjasama dan berpeluk dengan sesiapa sahaja, serta berpisah dengan mudah sewenang-wenangnya. Tujuannya tidak lain hanyalah untuk mendapatkan kuasa dan pangkat semata-mata.
Inilah kenyataan oleh kalangan yang pernah bersama PAS, kemudian meninggalkannya lalu mendedahkan isi hatinya yang sebenar. Begitu juga anggapan makhluk asing yang jauh daripada PAS. Akhirnya, kalangan yang meninggalkan PAS menjadi sampah politik yang hanyut.
Begitulah juga anggapan golongan al-Mala’ yang menentang perjuangan Islam para rasul terdahulu. Allah menceritakannya melalui firman-Nya:
وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوۡمِهِۦ فَقَالَ يَٰقَوۡمِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنۡ إِلَٰهٍ غَيۡرُهُۥٓۚ أَفَلَا تَتَّقُونَ ٢٣ فَقَالَ ٱلۡمَلَؤُاْ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن قَوۡمِهِۦ مَا هَٰذَآ إِلَّا بَشَرٞ مِّثۡلُكُمۡ يُرِيدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيۡكُمۡ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَأَنزَلَ مَلَـٰٓئِكَةً مَّا سَمِعۡنَا بِهَٰذَا فِيٓ ءَابَآئِنَا ٱلۡأَوَّلِينَ ٢٤ إِنۡ هُوَ إِلَّا رَجُلُۢ بِهِۦ جِنَّةٞ فَتَرَبَّصُواْ بِهِۦ حَتَّىٰ حِينٖ ٢٥
“Dan sesungguhnya, Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, lalu dia berkata, ‘Wahai kaumku! Sembahlah Allah, (kerana) sekali-kali tiada Tuhan bagimu selain Dia. Maka, mengapa kamu tidak bertaqwa (kepada-Nya)?’ (23) Maka, pemuka-pemuka orang yang kafir antara kaumnya menjawab, ‘Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi daripada kamu. Dan kalau Allah menghendaki, tentu Dia mengutus para malaikat. Belum pernah kami mendengar (seruan seperti) ini pada masa nenek moyang kami dahulu. (24) Dia tidak lain hanyalah seorang lelaki yang berpenyakit gila (pangkat), maka tunggulah (sabarlah) terhadapnya sampai suatu waktu. (25)” [Surah al-Mu’minun: 23-25]
Nabi Nuh AS ialah rasul pertama dan paling lama berjuang sehingga hampir 1,000 tahun mengajak manusia kembali kepada petunjuk Allah SWT yang menjadi tujuan penciptaan Adam AS dan zuriatnya iaitu menegakkan agama Allah (Islam) dalam mengabdikan diri kepada Allah dalam seluruh aspek cara hidup, dari sudut beribadat sehinggalah khilafah (politik mentadbir urusan dunia), serta amanah melaksanakan hukum Allah Yang Maha Adil kepada semua. Perjuangan Nabi Nuh AS juga merupakan perjuangan semua rasul sehinggalah nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW dan kumpulan umatnya yang meneruskan perjuangan.
Semua rasul itu dan kumpulan Islam dituduh menginginkan kuasa dan kedudukan tinggi dalam kehidupan dunia sahaja, serta menafikan kaitannya dengan ibadat kepada Allah yang sempurna. Bahkan, mereka tidak percaya bahawa Islam yang sempurna wajib ditegakkan sehingga berdaulat dalam negara, bukan dalam masjid sahaja. Ada juga daripada kalangan oportunis yang hanya menumpang perjuangan Islam, apabila diuji maka melompatlah dia.
Maka, selepas kewafatan Rasulullah SAW, menjadi kewajipan adanya kumpulan Islam yang meneruskan perjuangan dan memenuhi ciri-ciri yang disebut berulang kali dalam al-Quran, serta telah ditunjukkan teladannya oleh Rasulullah SAW.
Antaranya, apa yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤
“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada perkara yang ma‘ruf, dan mencegah daripada perkara yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” [Surah Ali ‘Imran: 104]
Kumpulan itu ialah jemaah atau parti, manakala kebajikan itu pula ialah ajaran Islam yang sempurna. Melaksanakan amar ma‘ruf dan nahi munkar pula dimaksudkan dengan berkuasa menegakkan sebuah negara yang berkuasa meninggikan Islam.
Ayat ini ditafsirkan oleh firman Allah yang menjadi road map perjuangan Islam yang dijanjikan, sebagaimana dalam ayat ini:
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal yang soleh, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh, Dia akan meneguhkan bagi mereka agama (Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” [Surah al-Nur: 55]
Ayat ini menyatakan bahawa perjuangan menegakkan sebuah negara masyarakat majmuk dipimpin oleh kumpulan dalam kalangan bangsa berpengaruh yang menganut Islam tidak putus dengan urusan ibadat, ekonomi yang adil, kedaulatan undang-undang dan berwawasan akhirat.
Maka, ditetapkan dalam Perlembagaan PAS pada Fasal 7:
“Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah Kitabullah (al-Quran) dan Sunnah Rasul serta Ijmak ‘Ulamak dan Qias yang terang dan nyata.”
Justeru, PAS mengadakan Majlis Syura Ulamak bagi menjaga perkara dasar dengan istiqamah dan tidak hanyut dalam ijtihadnya dalam menghadapi keadaan yang berubah dan berbeza. Para pemimpin dan calonnya dalam pilihan raya, berbaiah dan bersumpah demi Allah untuk tidak mengkhianati dan menipu perjuangannya.
Dalam aspek hubungannya dengan pihak yang lain dalam masyarakat majmuk, al-Quran telah menunjukkan batas sempadannya. Tujuannya bukan sekadar ingin mendapat kuasa semata-mata, tetapi juga menetapkan Islam wajib berkuasa mengatasi agama dan ideologi yang lain. Firman Allah SWT:
هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya atas segala agama meskipun orang Musyrik membenci.” [Surah al-Saff: 9]
Adapun kerjasama dengan pihak lain pula bertujuan mengembangkan mesej Islam, berpandukan firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢
“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan melampau. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” [Surah al-Ma’idah: 2]
Maka, Rasulullah SAW menetapkan dalam Sahifah Madinah (Piagam Madinah) yang melibatkan kalangan penganut Islam dan penganut agama bukan Islam yang reda di bawah Kerajaan Islam:
وَإِنَّهُ مَا كَانَ بَيْنَ أَهْلِ هَذِهِ الصَّحِيفَةِ مِنْ حَدَثٍ أَوْ اشْتِجَارٍ يُخَافُ فَسَادُهُ، فَإِنَّ مَرَدَّهُ إلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Dan sesungguhnya apa-apa perkara yang berlaku pertelingkahan antara semua pihak yang terlibat dalam perjanjian ini, sama ada apa-apa kejadian atau pertengkaran yang dikhuatiri menimbulkan kerosakan, maka hendaklah urusan tersebut dirujuk kepada Allah (al-Quran) dan Muhammad SAW (Sunnah).” [Ibn Hisyam, Sirah Ibn Hisyam, Jld. 1, Hlm. 504]
Ketetapan ini berlandaskan kepercayaan kepada konsep adil kepada semua manusia yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:
إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menunaikan segala jenis amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu supaya menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah itu Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]
Firman Allah SWT lagi:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ بِٱلۡقِسۡطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمۡ أَوِ ٱلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَۚ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقِيرٗا فَٱللَّهُ أَوۡلَىٰ بِهِمَاۖ فَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلۡهَوَىٰٓ أَن تَعۡدِلُواْۚ وَإِن تَلۡوُۥٓاْ أَوۡ تُعۡرِضُواْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٗا ١٣٥
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang benar-benar menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Jika orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada kedua-duanya. Oleh itu, janganlah kamu menuruti hawa nafsu supaya kamu tidak menyimpang daripada kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam segala apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Nisa’: 135]
Keadilan Islam adalah menyeluruh dalam segala aspek kehidupan manusia yang bermasyarakat majmuk. Walaupun berlainan agama dan taraf hidup, jika dijatuhkan hukuman, maka hendaklah sedia menghukum diri sendiri atau keluarga. Berpandukan bahasa al-Quran iaitu al-din dengan tafsiran yang betul daripada Perlembagaan Persekutuan yang benar-benar merdeka daripada penjajah.
Islam menetapkan kerjasama dan tolong-menolong dengan semua mengikut sempadan hukum Allah, sebagaimana firman-Nya:
وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ ٤٨ وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ ٥٠
“Dan Kami telah turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa-apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan untuk memelihara kitab-kitab yang lain itu. Maka, putuskanlah hukum antara mereka menurut apa-apa yang telah Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah jua kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu. (48) Dan hendaklah kamu memutuskan perkara antara mereka menurut apa-apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa-apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya, Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa mereka. Dan sesungguhnya, kebanyakan manusia ialah orang-orang yang fasiq. (49) Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin? (50)” [Surah al-Ma’idah: 48-50]
PAS banyak mengadakan persefahaman (tahaluf) dan kerjasama (ta‘awun) dengan banyak parti politik sepanjang sejarahnya berpandukan hukum Islam, bukan sekadar untuk mendapat kuasa dan memenangi pilihan raya. Bahkan, PAS bersedia untuk kalah dan jatuh kerajaannya kerana berpegang kepada prinsip Islam. Semua ahlinya yang setia kepada perjuangan dan baiah bersedia rebah, kemudian bangun dan menunggu walaupun selama beberapa generasi.
Hanya mereka yang tidak setia kepada baiah meninggalkan PAS dan melompat ke mana-mana sahaja. Mereka laksana kera yang memilih pokok yang berbuah demi mengisi perut dan nafsunya. Namun begitu, dia menuduh semua ahli PAS sepertinya.
Ahli-ahli PAS yang setia, percaya dan beriman kepada baiah yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ ٱللَّهَ يَدُ ٱللَّهِ فَوۡقَ أَيۡدِيهِمۡۚ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَىٰ نَفۡسِهِۦۖ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِمَا عَٰهَدَ عَلَيۡهُ ٱللَّهَ فَسَيُؤۡتِيهِ أَجۡرًا عَظِيمٗا ١٠
“Bahawasanya orang-orang yang berbaiah (berjanji setia) kepada kamu, sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, maka sesiapa yang melanggar janjinya nescaya akibat setelah melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri; dan sesiapa yang menepati janjinya kepada Allah, maka Allah akan memberikan kepadanya pahala yang besar.” [Surah al-Fath: 10]
Baiah adalah janji setia kepada perjuangan Islam daripada teladan Rasulullah SAW yang melakukan baiah bersama para pemimpin daripada kalangan sahabatnya, sebagaimana yang berlaku dalam peristiwa Baiah Aqabah Kedua:
تُبَايِعُونِي عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي النَّشَاطِ وَالْكَسَلِ، وَعَلَى النَّفَقَةِ فِي الْعُسْرِ وَالْيُسْرِ، وَعَلَى الْأَمْرِ بِالْمَعْرُوفِ، وَالنَّهْيِ عَنِ الْمُنْكَرِ، وَعَلَى أَنْ تَقُولُوا فِي اللهِ لَا تَأْخُذُكُمْ فِيهِ لَوْمَةُ لَائِمٍ، وَعَلَى أَنْ تَنْصُرُونِي إِذَا قَدِمْتُ يَثْرِبَ، فَتَمْنَعُونِي مِمَّا تَمْنَعُونَ مِنْهُ أَنْفُسَكُمْ وَأَزْوَاجَكُمْ وَأَبْنَاءَكُمْ وَلَكُمُ الْجَنَّةُ.
“Kamu berbaiah (berjanji setia) kepadaku, dengar dan taat pada masa cergas dan malas, menyumbang harta pada masa susah dan senang, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran, menyatakan kebenaran agama Allah SWT tanpa mempedulikan celaan orang yang mencela, dan menolongku apabila aku tiba negeri kalian di Yathrib. Kalian akan mempertahankan aku menentang musuh sebagaimana kalian mempertahankan diri dan anak-anak kalian. Jika kalian melakukan semua itu, nescaya Allah menjanjikan syurga kepada kalian.” [Ahmad, Musnad Ahmad, No. 14653, daripada Jabir bin ‘Abdillah]
Mereka yang berbaiah kepada PAS, tetap setia sebelum adanya undang-undang lompat parti. Hanya segelintir sahaja yang khianat terhadap baiah. Adapun pendatang baharu ke dalam PAS berlipat kali ganda jumlahnya, laksana tunas yang menjadi dahan dan ranting yang kukuh menambahkan hasilnya. Firman Allah SWT:
أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلٗا كَلِمَةٗ طَيِّبَةٗ كَشَجَرَةٖ طَيِّبَةٍ أَصۡلُهَا ثَابِتٞ وَفَرۡعُهَا فِي ٱلسَّمَآءِ ٢٤ تُؤۡتِيٓ أُكُلَهَا كُلَّ حِينِۢ بِإِذۡنِ رَبِّهَاۗ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَكَّرُونَ ٢٥ وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٖ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ ٱجۡتُثَّتۡ مِن فَوۡقِ ٱلۡأَرۡضِ مَا لَهَا مِن قَرَارٖ ٢٦ يُثَبِّتُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱلۡقَوۡلِ ٱلثَّابِتِ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِۖ وَيُضِلُّ ٱللَّهُ ٱلظَّـٰلِمِينَ ۚ وَيَفۡعَلُ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ ٢٧
“Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. (24) Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. (25) Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya daripada permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun. (26) Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan membuat apa yang dikehendaki-Nya. (27)” [Surah Ibrahim: 24-27]
PAS sangat berpengalaman mengadakan kerjasama dengan semua pihak. Daripada kalangan kumpulan Melayu Islam seperti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Negara dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, serta Semangat 46 yang berideologi kanan dan kiri, sehinggalah parti seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang pragmatik dan cacamarba, bahkan termasuklah bukan Islam paling ekstrem seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP).
PAS bekerjasama dalam titik persamaan, namun tetap berpegang kepada prinsip perjuangan dan matlamat Islamnya. Malah, PAS juga tidak pernah mengkhianati perjanjian, sehingga dipecat atau dikeluarkan daripada gabungannya.
Kerjasama PAS adalah berpandukan al-Quran dan Sunnah. Firman Allah SWT:
عَسَى ٱللَّهُ أَن يَجۡعَلَ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَ ٱلَّذِينَ عَادَيۡتُم مِّنۡهُم مَّوَدَّةٗۚ وَٱللَّهُ قَدِيرٞۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٧ لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨
“Mudah-mudahan, Allah menimbulkan kasih sayang antaramu dengan orang-orang yang kamu musuhi antara mereka. Dan Allah adalah Maha Kuasa. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (7) Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8)” [Surah al-Mumtahanah: 7-8]
Sabda Rasulullah SAW:
الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلَّا شَرْطًا أَحَلَّ حَرَامًا أَوْ حَرَّمَ حَلَالًا
“Penganut Islam itu wajib berpegang kepada syarat-syarat yang ditetapkan (dalam perjanjian) mereka, melainkan syarat yang menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal.” [Riwayat al-Tabrani, al-Mu‘jam al-Kabir, Bab al-‘Ain, Jld. 17, No. 30 dan Riwayat al-Bayhaqi, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Sodaq, No. 14432, daripada ‘Amr bin ‘Auf al-Mazani]
PAS boleh bersahabat dan berpeluk dengan sesiapa sahaja, serta menunjukkan kesetiaannya dalam semua kerjasama. Sehinggakan, ahlinya dijadikan khadam, wang duitnya digunakan untuk membayar hutang pihak lain dan kawasannya yang berpotensi menang dijadikan mangsa untuk ditipu oleh pihak lain. Hal ini demikian kerana, keyakinan PAS adalah kepada ketetapan Allah SWT melalui firman-Nya:
وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٦٣
“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka kamu juga hendaklah cenderung kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin. (62) Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (63)” [Surah al-Anfal: 61-63]
Alhamdulillah, PAS tidak pernah rugi dalam semua kerjasama dengan pihak lain. Sehingga kini, PAS menjadi parti dengan kerusi terbanyak di Parlimen dan banyak negeri yang diperintah olehnya. Maka, PAS tetap menjadi idaman semua pihak yang memujuknya untuk ditumpang kekuatannya.
PAS juga yakin akan sabda Rasulullah SAW:
مَنِ الْتَمَسَ رِضَى اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ رَضِيَ الِلَّهِ عَنْهُ عَنْهُ وَأَرْضَى النَّاسَ عَنْهُ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ سَخَطَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَسْخَطَ عَلَيْهِ النَّاسَ
“Sesiapa yang menuntut keredaan Allah, dengan sebabnya dimarahi oleh manusia, nescaya Allah meredainya dan Allah menjadikan manusia meredainya. Dan sesiapa yang mencari keredaan manusia sahaja dengan sebabnya dimurkai oleh Allah, nescaya Allah memurkainya dan Allah menjadikan manusia memarahinya.” [Riwayat Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Birr wa al-Ihsan, No. 276, daripada ‘Aisyah]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 21 Rabi‘ al-Akhir 1446 / 24 Oktober 2024
[Bil: 48 / 2024] – HARAKAHDAILY 24/10/2024