HONG KONG: Saintis telah menemui fosil dinosaur di Hong Kong buat kali pertama di sebuah pulau terpencil yang tidak berpenghuni yang merupakan sebahagian daripada geopark.
Biro Pembangunan Hong Kong dalam satu kenyataan pada lewat Rabu berkata, pakar dari Hong Kong dan tanah besar China mengenal pasti fosil itu sebagai milik dinosaur besar yang berumur dari zaman Cretaceous, sekitar 145 juta hingga 66 juta tahun lalu, lapor South China Morning Post.
“Mereka (saintis) perlu menjalankan kajian lanjut untuk mengesahkan spesies dinosaur. Fosil itu akan dipamerkan kepada umum mulai Jumaat,” tambah kenyataan itu.
Pakar membuat spekulasi bahawa dinosaur itu berkemungkinan tertimbus oleh pasir dan kerikil selepas kematiannya sebelum ia kemudian dihanyutkan ke permukaan oleh banjir besar, dan kemudiannya tertimbus semula di tapak penemuan, katanya.
Terdahulu, kerajaan Hong Kong berkata, jabatan pemuliharaan pada Mac memaklumkan Pejabat Antikuiti dan Monumennya mengenai batu sedimen yang mengandungi bahan yang disyaki fosil vertebrata.
Batu itu ditemui di Hong Kong UNESCO Global Geopark di perairan timur laut bandar Port Island, lokasi fosil dinosaur tersebut ditemui.
Pulau kecil terpencil yang kecil dan tidak berpenghuni itu, yang merupakan sebahagian daripada UNESCO Global Geopark Hong Kong seluas 150 km persegi itu telah ditutup mulai hari Rabu untuk kerja penggalian selanjutnya. -Agensi/– HARAKAHDAILY 24/10/2024