KUALA LUMPUR: “Tahniah diucapkan kepada Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas atas pengurniaan watikah pelantikan sebagai Profesor Diraja Terpuji.”
Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kurniaan tersebut telah dianugerahkan oleh Ke Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar, semalam (23 Oktober).
“Maka kami mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas atas pelantikan tersebut,” katanya dalam akaun media sosial Facebooknya.
Menurut beliau, Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah pengasas kepada Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) dalam negara ini.
“Beliau telah menerima pengiktirafan tertinggi sebagai Profesor Diraja atas jasanya yang begitu kepada negara dan peradaban dunia terutamanya dalam bidang keilmuan Islam,” ujarnya.
Sehubungan itu, Fayhsal menyatakan cadangan pengurniaan tersebut telah disuarakan olehnya bersama-sama Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang lain dalam Sidang Dewan Rakyat pada tahun yang lalu.
“Saya dan rakan-rakan ahli parlimen PN telah menyuarakan cadangan ini dalam sesi Perbahasan Titah Diraja dalam Sidang Dewan Rakyat tahun lalu.
“Namun, sekali lagi diucapkan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada guru kami iaitu Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2024