Exco pastikan potensi lokasi TMK 2025 dipersiap

- Advertisement -

PADANG SERAI: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin mengadakan lawatan kerja di Kulim meninjau beberapa tempat berpotensi yang menjadi tarikan pelancong menjelang Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.

- Advertisement -

Antaranya, Ruza AgroTech yang berkonsepkan agrotourism iaitu pertanian, penternakan dan pelancongan milik Ruseli Ahmad di mana diusahakan di tanah seluas 54 ekar di Lunas.

Kata Dato’ Salleh, di Ruza AgroTech pengunjung boleh menimba pengalaman yang unik dan menyeronokkan melalui pelbagai tarikan disediakan di tempat untuk dilawati.

“Antaranya, taman tema air kanak-kanak juga merupakan terbesar di Kulim, ladang ternakan pelbagai spesies haiwan, kebun buah-buahan tempatan serta aktiviti agro-rekreasi yang mendekatkan masyarakat dengan alam semula jadi,” katanya.

Berikutan itu, sesi ‘townhall’ turut diadakan bersama kakitangan jabatan serta unit-unit berkaitan, berbincang serta bertukar fikiran terutama untuk mendapatkan pandangan dan sumbangsaran berkaitan pelancongan dan lain-lain berkaitan.

“Yang paling utama adalah memahami pentingnya semangat bekerjasama dalam setiap gerak kerja berpasukan kerana di situlah terletaknya laluan untuk memastikan apa yang dicapai lebih daripada apa yang disasarkan.

“Apatah lagi untuk menaikkan imej khususnya kepada pengunjung dan pelancong sempena TMK yang tidak berapa lama sahaja lagi,” tegas ADUN Kubang Rotan itu turut mengadakan lawatan ke Taman Eko Rimba, Sungai Sedim.

Pusat rekreasi yang terkenal di Daerah Kulim itu, terpaksa ditutup kepada orang ramai bermula 18 September lalu kerana mengalami kerosakan akibat dilanda ribut.

“Kita akan berusaha mendapatkan bantuan bagi tujuan membantu kerja-kerja awalan membaiki semula kerosakan. Selain itu, Taman Eko Rimba ini juga akan dinaik taraf persekitarannya sebagai persediaan TMK ini,” ujar beliau.

Taman Eko Rimba, Sungai Sedim, antara pusat rekreasi terkenal di Daerah Kulim dan dibuka kepada kunjungan orang ramai bermula jam 7:00 pagi hingga 6:00 petang.

Terletak kira-kira 33 kilometer daripada bandar Kulim dan lokasinya di Hutan Simpan, Gunung Inas serta persekitarannya merupakan Hutan Dipterokarpa Pamah.

Masuk adalah percuma namun dikenakan bayaran sekiranya ingin bermalam iaitu RM2.00 satu malam untuk dewasa dan RM1.00 untuk pelajar serta boleh mampu menampung kapasiti 100 orang dalam satu masa. – HARAKAHDAILY 24/10/2024