Deepavali: Kaum India tak dipinggir Kerajaan Kedah

- Advertisement -

POKOK SENA: Seramai 100 penerima dari kalangan penganut agama Hindu sekitar DUN Derga, menerima sumbangan sempena perayaan Deepavali, menjelang 31 Oktober ini.

- Advertisement -

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh ADUN Derga, Muhamad Amri Wahab, pada majlis ringkas di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN tersebut, di sini semalam.

Kata beliau, sumbangan ini sebagai tanda ingatan kerajaan negeri dan pihaknya terhadap golongan berkenaan untuk menyambut perayaan tersebut.

“Selain membantu meringankan beban yang ditanggung mereka, lebih-lebih lagi situasi ekonomi yang tidak menentu.

“(Dengan) pemberian ini juga secara tidak langsung menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,” kata beliau, di sini.

Jelas Amri lagi, kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, tidak mendikriminasikan hak kaum lain dan sentiasa peka kepada kesusahan rakyat tanpa batasan agama.

Malah, sumbangan sempena Deepavali kepada masyarakat India diadakan setiap tahun dan melibatkan seluruh DUN di Kedah.

“Saya mengharapkan sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada para penerima serta gembira meraikan Deepavali bersama keluarga,” tambah beliau.

Sementara itu dalam majlis berasingan, seramai 40 keluarga India di Flat Setia Jaya juga menerima sumbangan yang sama.

“Harapan saya, semoga mereka gembira dan jaga diri di musim perayaan ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 24/10/2024