KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan kontinjen tentera Malaysia yang sedang bertugas dalam misi pengaman di Lubnan di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata, situasi semasa di Lubnan, termasuk ancaman serangan daripada Israel atau Hizbullah, meningkatkan risiko terhadap kontinjen Malaysia di sana.
“Tentu sekali tujuan dan matlamat kehadiran kontijen Malaysia berada di Lubnan telah berubah dalam keadaan yang berlaku di sana pada ketika ini.
“Dalam keadaan sekarang ini apakah Yang Berhormat berpuas hati dengan keadaan aset-aset tentera, kontijen kita pada ketika ini,” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Ronald turut mempersoalkan keselamatan aset ketenteraan yang digunakan, termasuk kenderaan IAG Guardian yang telah dikategorikan sebagai tidak selamat oleh PBB.
“Adakah kerajaan berhasrat untuk melihat semula kenderaan yang dikategorikan sebagai tidak selamat oleh PBB untuk ditambah baik dengan aset ketenteraan kenderaan IFV (Infantry Fighting Vehicle) bagi meningkatkan perlindungan sementara menunggu keputusan dasar berhubung pengunduran kontinjen dari Lubnan,” katanya.
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, segala keputusan berkaitan operasi dan aset tentera di Lubnan dibuat melalui perbincangan dengan PBB dan pihak UNIFIL.
“Saya tidak nafikan keperluan untuk kita meningkatkan lagi kebolehupayaan operasi kita itu sentiasa di nilai dari masa ke semasa berdasarkan perbincangan kita dengan pihak UNIFIL dan PBB.
“Pandangan oleh Yang Berhormat Beluran adalah dalam perhatian kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, dalam setiap tindakan di Lubnan, kerajaan bukan sahaja perlu mempertimbangkan tanggungjawab negara terhadap misi PBB, tetapi juga perlu memastikan bahawa keselamatan anggota tentera Malaysia adalah terjamin. – HARAKAHDAILY 24/10/2024