‘Belanjawan 2025 tagih pujian, tak selesaikan kemelut rakyat’

Nazrul Nazir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Selangor menyifatkan Belanjawan 2025 oleh Kerajaan Madani sebagai hanya mahukan pujian dan bukan mahu menyelesaikan kemelut rakyat, sebaliknya semakin membuatkan rakyat tersepit.

Timbalan Ketua Penerangannya, Nazrul Nazir berkata, pembentangan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu telah menimbulkan keresahan kepada kebanyakan rakyat terutamanya terhadap anak-anak muda.

- Advertisement -

“Sudahlah rakyat semakin diperah dengan cukai dan pemotongan subsidi, malah rakyat diajar pula tabiat berhutang yang sudah pasti menjerut kebanyakan anak muda kelak.

“Hasrat kerajaan yang mahu membentangkan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna mengundang kecaman hebat anak muda. Adakah kerajaan mahu menormalisasi sikap suka berhutang dalam kalangan rakyat terutama anak muda? 

“Budaya beli dahulu bayar kemudian ini sebenarnya lebih mendatangkan mudarat berbanding manfaat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tidak cukup dengan itu, tambah beliau,  kebanyakan tawaran dan insentif yang diberikan dalam Belanjawan 2025 seolah-olah jerat yang bakal menjerut rakyat kelak dan seolah-olah tidak digarap berdasarkan realiti semasa.

“Penambahan insentif bermaksud kerajaan perlu mempunyai hasil tambahan untuk menampung kos bagi melaksanakan insentif tersebut. 

“Persoalannya, dari mana dana itu dijana untuk menampung belanjawan janji manis Kerajaan Madani ini?” soalnya.

Menyentuh mengenai pengumuman gaji minima sebanyak RM1,700, beliau menyifatkan ia sedikit merawat luka anak muda, tetapi kesan pengumuman tersebut jika tidak diselesaikan dengan baik, umpama menambah garam ke atas luka tersebut.

“Adakah kerajaan sudah merangka suatu mekanisme efektif bagi menyerap kenaikan harga barang selepas ini impak penambahan insentif, pemotongan subsidi dan pengenalan cukai baharu?” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2024