PUTRAJAYA: Bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), Muhammed Yusoff Rawther telah memfailkan rujukan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi pelupusan awal kes.
Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali dalam satu kenyataan berkata, arahan dibuat oleh anak guamnya itu adalah berkaitan dengan keperlembagaan dan undang-undang yang menyentuh hak jaminan berada bawah bidang kuasa mahkamah.
Menurut beliau, pengurusan kes bagi permohonan anak guamnya yang menuntut deklarasi bahawa Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah tidak berperlembagaan telah berlangsung di mahkamah pada semalam Rabu (23 Oktober).
“Pihak Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Jabatan Peguam Negara telah menyatakan perlu masa selama 2 minggu untuk memfail afidavit jawapan kepada permohonan tersebut.
“Pada masa yang sama, kami sebagai Peguam yang mewakili Yusoff Rawther telah memaklumkan kepada Mahkamah bahawa pihak kami mempunyai arahan untuk memfailkan satu Rujukan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan dibawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi pelupusan awal kes ini kerana i ada kaitan dengan keperlembagaan/undang-undang berkaitan hak jaminan yang berada bawah bidang kuasa Mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Rafique lagi, pihaknya juga telah memohon agar kes ini diangkat segara mungkin di hadapan Yang Arif Hakim secara pengurusan kes fizikal kerana isu-isu kepentingan yang berbangkit.
Tambah beliau, Timbalan Pendaftar, Syeela Marlina Uttaman telah menetapkan 6 November depan untuk pengurusan kes yang dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Terdahulu, pada 12 September lalu, Muhammed Yusoff, 31, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas satu pertuduhan mengedar 305 gram dadah jenis kanabis, yang ditemui di dalam kenderaan dinaikinya.
Dia turut didakwa di mahkamah sama pada 9 Oktober atas pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan. – HARAKAHDAILY 24/10/2024