Akta Baja perlu untuk lindungi pekebun ditipu

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Akta Baja wajar digubal dalam usaha untuk melindungi pekebun kecil dan petani daripada terjebak dalam menggunakan baja yang tidak berkualiti.

- Advertisement -

Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) berkata, penggubalan akta itu penting untuk mengawal selia industri baja dan melindungi petani dan pekebun kecil.

“Antara keperluan utama akta ini adalah untuk memastikan hanya baja berkualiti tinggi dipasarkan dengan piawaian jelas bagi setiap produk yang dijual. Akta Baja penting untuk mengawal pengeluaran, pengimportan dan pengedaran baja.

“Ketika ini hanya baja organik tertakluk di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 manakala baja kimia tertakluk kepada Akta Kastam 1967,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Portfolio Perladangan dan Komoditi Ahli Parlimen Perikatan Nasional menyatakan perkara itu sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, baja yang berkualiti dan menepati keperluan penting bagi meningkatkan hasil, manakala hasil yang tinggi akan mengurangkan kos pengeluaran dan menambahkan hasil kepada negara.

Jelas Bakri, dalam Seminar Kebangsaan Pekebun Kecil yang diadakan di Melaka yang dihadirinya baru-baru ini, beliau telah mendengar luahan pekebun-pekebun kecil berkaitan dengan isu baja itu.

“60 ke 70 peratus dari keseluruhan kos operasi sawit adalah dari pembajaan. Baja yang baik dan spesifikasi yang betul akan meningkatkan hasil sawit dan hasil pertanian lainnya.

“Hampir 90 peratus keperluan baja negara datangnya dari sektor komoditi, sawit, getah, koko, lada, tembakau dan kenaf,” kata beliau.

Katanya, menurut kajian MPOB dari tahun 2018 ke 2022 mendapati 75.93 peratus dari 103 sampel baja dari pekebun kecil tidak menepati spesifikasi nutrien yang ditetapkan.

“Kualiti baja yang rendah bukan sahaja menyebabkan hasil rendah, bahkan boleh merosakkan tanah; merubah pH tanah; merosakkan struktur tanah yang nantinya berdampak kepada penurunan hasil serta kerugian besar dalam jangka masa panjang.

“Hal ini berlaku disebabkan tiada undang-undang dan agensi kerajaan yang mengawal selia dan penguatkuasa undang undang yang menyeluruh dalam industri baja,” katanya.

Kata beliau, ia menyebabkan berlakunya lambakan baja palsu yang mudah didapati di pasaran yang mempunyai spesifikasi yang rendah.

Tegas beliau, memberikan kesedaran kepada pekebun kecil sahaja tidak cukup di mana kerajaan perlu campur tangan melalui undang-undang dan penguatkuasaan.

“Sekiranya kementerian yang berkaitan ingin butiran dan makluman lanjut boleh berbincang dengan Tangga Batu bagi mendapatkan input demi rakyat dan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2024