The Greater Kedah akan dilancar Ahad, 27 Okt ini

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah bakal mengadakan majlis pelancaran The Greater Kedah yang akan berlangsung pada 27 Oktober ini dijadualkan diadakan di Dewan Seri Mentaloon, di sini.

- Advertisement -

Majlis akan menampilkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan menyampaikan ucapan serta berkongsi kupasan idea berkenaan ‘Kedah Dalam Konteks Nasional dan Global’.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Haim Hilman Abdullah selaku juga jawatankuasa pelaksana gagasan itu pula akan mengupas tajuk ‘The Greater Kedah, Pemacu Kemajuan Negeri dan Negara’.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan merasmikan majlis tersebut di mana The Greater Kedah merupakan pemangkin kepada hala tuju Kedah sejajar Pelan Pembangunan Kedah 2035.

Sebelum ini Sanusi memaklumkan, The Greater Kedah hanya akan menggunakan sumber dalam negeri untuk melonjakkan negeri ini ke tahap lebih baik dan ia berbeza jika dibandingkan dengan The Greater Lembah Klang atau The Greater Penang yang telah lama dilaksanakan.

Menurutnya, kebanyakan pelan The Greater membabitkan negeri-negeri lain tidak dihebahkan kerana ia merupakan perkara sensitif apabila melibatkan sumber dari negeri lain.

Jelasnya, Blueprint The Greater Kedah merangkumi pelan perancangan sedia ada antaranya, Pelan Pembangunan Kedah 2035 (KEDAH2035), Pelan Strategik Ahli Majlis Kerajaan Negeri 2024- 2028.

“The Greater Kedah merupakan gagasan besar negeri untuk tempoh jangka panjang melibatkan keseluruhan aspek berkepentingan negeri.

Ia melibatkan usaha pemerkasaan dalam aspek seperti ekonomi, sosial, hasil bumi, fiskal negeri, tadbir urus, perundangan dan kehakiman serta kerjasama strategik dan perancangan geopolitik,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 23/10/2024