AYER KEROH: Beberapa solusi dicadangkan untuk mengatasi masalah gangguan seksual yang semakin meruncing dan kerap berlaku di dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Kawasan Jasin, Ustaz Zulhilmi Aziz Abdul Hannan berkata, kes gangguan di tempat kerja, ruang awam, dan melalui media sosial mencerminkan betapa seriusnya masalah ini dalam kalangan orang ramai.
“Berdasarkan rekod oleh Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Yayasan Kebajikan Negara (YKN), pada Oktober 2023 sahaja, terdapat lebih daripada 1,213 orang melaporkan gangguan seksual dihadapi mereka.
“Namun, dipercayai angka sebenar jauh lebih tinggi kerana ramai mangsa enggan melaporkan kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin, hari ini.
Menurut beliau, merujuk kepada kajian kes di Malaysia mengenai gangguan seksual, terdapat beberapa perkembangan terkini yang boleh dijadikan contoh.
“Salah satunya ialah kes Tribunal Gangguan Seksual pertama di Malaysia pada tahun 2024. Tribunal yang ditubuhkan di bawah Akta Gangguan Seksual 2022 telah mengeluarkan keputusan pertama pada Julai 2024.
“Di mana seorang majikan lelaki didapati bersalah atas tuduhan gangguan seksual terhadap pekerja wanitanya,” katanya.
Akhirnya menurut beliau, tribunal tersebut telah memerintahkan majikan berkenaan untuk memohon maaf secara terbuka kepada mangsa.
Jelasnya, kes itu menunjukkan bahawa proses penghakiman gangguan seksual perlu dijalankan dengan teliti dan adil bagi memastikan keadilan ditegakkan.
Tambah Ustaz Zulhilmi, Islam menekankan kepentingan menjaga maruah dan kehormatan setiap individu.
Katanya, ini selaras dengan firman Allah SWT dalam al-Quran, ayat 32 surah Al-Isra’ yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk”.
“Walaupun ayat ini merujuk kepada zina, ia juga memberi peringatan agar kita menjauhi segala perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah, termasuk gangguan seksual.
“Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya di antara perkara yang didapatkan manusia dari perkataan para Nabi ialah; Jika kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu mahu” (HR Imam Bukhari),” katanya.
Menurut beliau, hadis itu menekankan pentingnya sifat malu dan hormat dalam menjaga hubungan sesama manusia.
“Oleh itu, antara solusi konkrit dicadangkan bagi menangani isu ini ialah, yang pertama, pendidikan kesedaran. Pendidikan mengenai hak asasi manusia dan adab dalam interaksi sosial mengikut citra Islam perlu diperluaskan sejak peringkat sekolah,” katanya.
Jelas beliau, ia penting untuk melahirkan generasi yang sedar dan peka terhadap isu gangguan seksual.
Solusi kedua pula kata Ustaz Zulhilmi, ialah Penguatkuasaan Undang-undang seperti Akta Gangguan Seksual 2022 perlu dikuatkuasakan dengan lebih tegas di mana pihak berkuasa dan majikan harus segera bertindak atas laporan gangguan untuk melindungi mangsa.
“Ketiga, masyarakat prihatin, di mana setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan aktif dalam melaporkan dan menyokong mangsa gangguan seksual.
“Jangan biarkan sikap tidak peduli menguasai, kerana ia membuka ruang kepada pelaku untuk terus melakukan jenayah ini,” katanya.
Sementara solusi keempat, menurut beliau ialah berkaitan sokongan psikologi di mana mangsa gangguan seksual perlu diberikan akses kepada bantuan psikologi untuk mengatasi trauma.
“Ini penting agar mereka dapat bangkit dan menjalani kehidupan yang normal kembali. Akhirnya, jangan takut untuk bersuara. Laporkan, bertindak, dan lindungi diri serta insan tersayang daripada gangguan seksual.
“Sebagai umat Islam, kita wajib memastikan bahawa kehormatan setiap individu dihormati dan dilindungi!” tegasnya. – HARAKAHDAILY 23/10/2024