Penaiktarafan DHPP kepada sayap rasmi bukti keterbukaan PAS

Hassanuddin Salim
- Advertisement -

KUANTAN: Penaiktarafan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) kepada sebuah dewan atau sayap rasmi yang boleh melibatkan diri dalam proses pemilihan parti menzahirkan keterbukaan PASsebagai sebuah parti Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan, Hassanuddin Salim berkata, ahli DHPP juga kini boleh mengundi dan memilih kepimpinan di dalam parti PAS.

- Advertisement -

“Ini menunjukkan keterbukaan PAS sebagai sebuah parti Islam. Kita kena faham, asasnya PAS ini adalah sebuah parti yang mengambil Islam sebagai asas dan dasar.

“Jadi, atas dasar itu, mestilah pemimpin utama atau barisan kepimpinan utama PAS adalah orang Islam dan orang yang memahami asas-asas Islam.

“Asas-asas Islam apa dia? al-Quran, hadis, Ijma’ Ulama, ilmu-ilmu Islam dan sebagainya, orang ini lah yang memimpin PAS,” katanya dalam sesi podcast anjuran Jabatan Penerangan dan Media Baru PAS Negeri Pahang.

Tambah Hassanuddin, dunia ketika ini dapat dibuktikan apabila Islam berkuasa dan memerintah, masyarakat bukan Islam akan ‘terpayung’ dan dilayani secara adil, berbanding masyarakat Islam yang hidup dalam kalangan majoriti bukan Islam.

“Umpamanya di negara China, umat Islam minoriti di sana, apa jadi dengan mereka? Di Myanmar, umat Islam yang minoriti di sana, apa yang jadi dengan mereka?

“Ini realiti yang hidup ada di hadapan kita. Maknanya bangsa-bangsa minoriti terutamanya orang Islam yang hidup di kalangan majoriti (bangsa) yang lain, mereka acap kali teraniaya,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap agar DHPP dapat menjadi sebuah dewan yang efektif untuk memberikan maklumat yang tepat dan benar kepada orang bukan Islam di Malaysia untuk bersama-sama dengan PAS.

“Seperti yang disebut oleh Tuan Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang), mereka ini adalah orang-orang bukan Islam yang tidak melampau, yang boleh memahami apa itu perjuangan PAS, yang boleh memahami apa yang dibawa oleh parti ini.

“Dan (mereka) tahu bahawa apabila PAS ini menguasai kerajaan dan memerintah, ia akan berlaku adil dan akan memberi kebaikan kepada semua pihak.

“Tidak ada isu rasis, tidak ada isu-isu untuk menganiaya kumpulan-kumpulan kecil yang lain…tidak ada. Jadi, inilah yang kita bawa,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2024