PADANG BESAR: ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun tersentuh mendengar penghargaan dari seorang warga emas, Musa Shahidan, 73, atau lebih dikenali sebagai Pak Un, kepada Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
“Alhamdulillah, semalam saya telah menghantar kerusi roda ganti untuk isteri Pak Un yang keadaannya (kerusi roda sebelumnya) sangat lusuh dan usang,” katanya kepada Harakahdaily, di sini, hari ini.
Haziq Asyraf menyampaikan bantuan itu kepada pasangan suami isteri tersebut di kediaman Pak Un di Kampung Belukar.
Bantuan itu disampaikan atas permintaan Menteri Besar, lebih mesra dengan panggilan Cikgu Shukri, selepas menziarahi keluarga Pak Un sewaktu program Jaulah Subuh di kampung berkenaan pada hari Sabtu lalu.
Mohd Shukri meminta agar kerusi roda tersebut diserahkan dengan segera bagi meringankan beban keluarga tersebut.
Pak Un, yang baru pulih daripada serangan strok, kini menjaga isterinya di mana turut menderita penyakit sama.
Mereka tinggal bersama di rumah mereka, sementara empat orang anak mereka menetap secara berasingan.
Menyentuh hati, Pak Un tidak lagi bekerja kerana menumpukan sepenuh perhatian untuk menjaga isterinya yang terlantar sakit.
“Saya sangat bersyukur atas bantuan ini, kerusi roda ini sangat bermakna untuk isteri saya yang memerlukan perhatian penuh,” katanya.
Inisiatif kerajaan negeri ini bukan sahaja menunjukkan keprihatinan mereka terhadap kebajikan rakyat, tetapi juga melambangkan kesungguhan dalam mendekati dan memahami kehidupan masyarakat setempat.
Menurut Haziq Asyraf, menerusi sumbangan seperti itu, pihaknya dapat melihat sendiri cabaran yang dihadapi oleh penduduk dan memberikan bantuan diperlukan.
“Insya-Allah lebih banyak golongan yang memerlukan akan mendapat perhatian yang sewajarnya,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 23/10/2024