KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berupaya untuk membendung aktiviti Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang sangat halus dan tersembunyi walaupun mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.
Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, aktiviti itu merupakan kesinambungan daripada Al-Arqam yang diharamkan sejak 1994.
“Adakah kerajaan bercadang untuk mewujudkan suatu undang-undang khusus untuk membendung gejala Al-Arqam ini daripada berterusan untuk masa akan datang?
“Selain itu, adakah suatu pendekatan yang holistik dari sudut pendidikan Islam dari sudut pemahaman soal akidah, syariah dan kerohanian agar mereka ini tidak menyimpang jauh daripada kefahaman Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Dalam soalan asal, beliau meminta Perdana Menteri menyatakan mengapa Tariqat Aurad Muhamadiyah masih diamalkan oleh pengikut Al-Arqam sedangkan tariqat itu dan Al-Arqam telah difatwakan sesat pada tahun 1994.
Beliau juga ingin tahu langkah drastik kerajaan untuk menghapuskan Tariqat ini dan nyatakan program pemulihan yang dilakukan terhadap mereka yang berselindung atas nama kebajikan dan ekonomi GISBH.
Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, berkata kementeriannya telah memulakan dan mempunyai pelan pemulihan serta kolaborasi strategik di antara agensi-agensi yang berkaitan.
“Bukan GISBH sahaja yang akan diberikan tumpuan, kita juga sedang memantau beberapa ajaran yang didapati berkemungkinan berpotensi untuk ada kesesatan di situ, maka kita juga sedang memantau secara dekat kolaborasi bersama agensi,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2024