‘Boleh tak pinda peruntukan 145(3) Perlembagaan?’

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu-isu yang telah mencetuskan kontroversi termasuk pengumuman peruntukan RM5.1 juta semasa Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan perlu dilihat oleh kerajaan.

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkata, selain itu, kontroversi yang boleh menjejaskan prestasi agenda reformasi telah timbul, termasuk penganugerahan DRT (Darjah Kebesaran, Bintang, dan Pingat) di Selangor tanpa melalui proses biasa serta pelantikan anak sendiri sebagai penasihat ekonomi.

“Yang satu lagi berkenaan dengan empirical study, yang saya difahamkan akan mengambil masa lebih kurang dua tahun. Tapi pada masa yang sama boleh tak pihak kerajaan meminda peruntukan 145(3) Perlembagaan.

“Sebab kalau selagi tak pinda kuasa besar kepada AG (Peguam Negara) dan banyaklah perkara-perkara, kes yang dah dipanggil bela diri pun dah panggil saksi 90 orang masih boleh dilepaskan dengan mudah kerana kuasa begitu besar,” ujar beliau.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan- Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman tidak menjawab soalan pertama.

Dalam jawapan kepada soalan kedua ialah beliau berterima kasih kepada Ahli Parlimen Besut itu yang merupakan seorang bekas hakim dengan banyak pengalaman.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk mempertimbangkan kemungkinan pemisahan antara Peguam Negara dan pendakwa raya, dan sedang menjalankan kajian empirikal bersama jawatankuasa Parlimen.

Dalam kajian itu menurutnya, kerajaan melibatkan pakar dari universiti tempatan dan antarabangsa untuk mendapatkan pandangan yang berbeza.

Beliau berharap Che Mohamad Zulkifly dapat mewakili blok pembangkang dalam jawatankuasa itu, memandangkan kepakaran beliau dalam bidang undang-undang.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang meminta Perdana Menteri menyatakan bagaimana prestasi agenda reformasi institusi yang ditekankan oleh Perdana Menteri dalam menerajui Kerajaan dan bilakah lantikan-lantikan pengerusi institusi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya akan dibuat melalui lantikan Parlimen. – HARAKAHDAILY 23/10/2024