Berapa nota bantahan dibuat atas pencerobohan China?

Roslan Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) meminta Kementerian Luar Negeri untuk memaklumkan jumlah nota bantahan yang telah dibuat pihak kerajaan atas kejadian pencerobohan kapal Tentera Laut China ke atas perairan Malaysia.

- Advertisement -

“Berapakah nota bantahan yang telah dihantar oleh Wisma Putra kepada negara China setakat ini dan apakah tindakan susulan yang telah diambil?

“Misalnya selepas penghantaran nota bantahan ini dikemukakan terhadap tuntutan China di Laut China Selatan mengenai peta standard China edisi 2023 yang turut meliputi kawasan maritim Malaysia sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengajukan soalan tambahan sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Roslan juga meminta kerajaan menjelaskan sama ada pihaknya juga berhasrat untuk memanggil Duta Besar China ke Malaysia sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

Jelasnya, ia seperti yang pernah dilakukan kerajaan dengan memanggil Duta Besar China ke Malaysia bagi menyatakan bantahan atas isu pencerobohan kapal negara itu pada 2021.

Sementara itu, timbalan menteri, Datuk Mohamad Alamin berkata, Wisma Putra dalam mencari penyelesaian terhadap isu itu harus menggunakan mekanisme diplomasi yang baik.

“Amalan mana-mana negara pun adalah jelas bahawa menghantar nota bantahan itu adalah salah satu komunikasi atau hubungan diplomasi dua hala.

“Bukan hanya nota bantahan hantaran negara kita dengan negara China, bahkan Negara China juga menggunakan platform mekanisme yang sama untuk menghantar nota-nota bantahan kepada kita,” katanya.

Jelasnya, isu Laut China Selatan ini merupakan suatu isu yang telah pun dipersetujui lama dari segi Undang-undang Maritimnya berdasarkan peta Malaysia terbaru tahun 1979 yang diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa.

Namun beliau dalam jawapannya tidak menjawab tentang jumlah nota bantahan yang telah diserah kepada China seperti yang diminta Roslan. – HARAKAHDAILY 23/10/2024