KUALA LUMPUR: Dr. Halimah Ali (PN-Kapar), berpandangan Belanjawan 2025 memerlukan pendekatan lebih inklusif untuk memastikan kepentingan rakyat terjaga.
Menurut beliau, bagi menjaga kepentingan 34 juta rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan ideologi, kerajaan perlu memastikan sumber hasil mencukupi untuk mentadbir negara serta melindungi dan mensejahterakan rakyat.
“Sekiranya kerajaan madani memang Ikhlas untuk mencapai tujuan ini, sepatutnya tidak ada masalah untuk melibatkan semua pihak termasuk pihak opposisi bersekali dalam membumikan teori mensejahterakan rakyat dalam belanjawan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Perbahasan Belanjawan 2025, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Merujuk kepada prinsip ‘Begin with the end in mind’ dalam buku ‘7 Habits of Highly Effective People karya Steven Covey’, Halimah menekankan bahawa perancangan fiskal negara perlu bermula dengan matlamat yang jelas.
Beliau mengaitkan konsep ini dengan falsafah Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur iaitu sebuah negara yang makmur dan dirahmati.
Beliau turut menyeru kerajaan agar berfikiran terbuka dan magnanimous atau bermurah hati untuk mendengar pandangan pembangkang, yang menurutnya memainkan peranan penting dalam mengangkat isu-isu rakyat.
“Kerajaan perlu mendengar luahan dari pihak yang tidak sekapal dengan pihak kerajaan seperti Perikatan Nasional (PN) kerana isu-isu yang membelenggu rakyat lebih berkesan bila diangkat oleh pihak opposisi.
“Inilah ‘core business’ pembangkang. Kami bukan membangkang semua perkara, bila yang betul bermanfaat untuk rakyat kami kena setuju tapi benda yang akan membebankan rakyat itu lah diantara yang kami akan angkat. PN adalah pembangkang yang matang dan sejahtera,” katanya.
Beliau juga mengajak kerajaan untuk berfikir secara rasional mengenai impak dasar fiskal yang akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 terhadap rakyat, serta memastikan setiap keputusan dibuat demi kesejahteraan bersama. – HARAKAHDAILY 23/10/2024