KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Selangor (DMPNS) berasa terpanggil untuk membicarakan isu wanita dan keselamatan sosial dalam Belanjawan 2025.
Ketuanya, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan dalam satu kenyataan berkata, isu ini merupakan topik penting yang perlu diberi perhatian dalam konteks pembangunan sosial dan ekonomi, memandangkan wanita juga antara penyumbang tenaga kerja dan pendapatan negara yang sangat penting pada hari ini.
Sehubungan itu, beliau telah menyenaraikan beberapa aspek yang perlu dipertimbangkan.
“Pertama, pemberian peruntukkan yang mencukupi untuk keselamatan sosial, melalui program-program yang menyokong wanita, terutama dalam aspek perlindungan sosial seperti bantuan kewangan, perkhidmatan kesihatan, dan sokongan untuk ibu tunggal.
“Penyediaan perbelanjaan sokongan untuk pekerja wanita bagi meningkatkan penyertaan mereka dalam tenaga kerja dengan menyediakan insentif bagi majikan yang mengambil pekerja wanita dan menawarkan fleksibiliti kerja. Ini termasuk perlindungan hak pekerja dan gaji yang setara.
“Seterusnya, mewujudkan program kesihatan berkaitan mental untuk wanita dan sokongan untuk ibu hamil yang bekerja juga mesti diadakan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook DMPNS, hari ini.
Wan Hasrina berkata, perkara ini amat penting bagi menjamin kesejahteraan wanita dan anak-anak mereka, serta menjamin kualiti dan stamina kerja mereka ditahap yang memuaskan.
Tambah beliau lagi, DMPNS juga menyatakan bahawa belanjawan negara perlu memberi peruntukan dana untuk memberi perlindungan terhadap keganasan gender.
“Dana ini adalah untuk program pencegahan keganasan terhadap wanita dan menyediakan pusat perlindungan bagi mangsa keganasan.
“Ini juga termasuk program pendidikan untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu ini,” ujarnya.
Seterusnya, kata beliau lagi, peruntukan belanjawan diperlukan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran bagi wanita, khususnya dalam bidang yang kurang diwakili, di samping membantu mereka memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik.
Justeru, DMPNS turut berharap kerajaan dapat memberi galakan penyertaan dari kalangan wanita dalam pembuat dasar, termasuk dalam merancang dan melaksanakan belanjawan.
“Ini akan memastikan bahawa suara dan keperluan wanita diambil kira.
“Dengan memberi fokus kepada isu-isu ini, sebagai wakil DMPNS, saya berharap Belanjawan 2025 dapat membantu mengatasi ketidaksamaan gender dan meningkatkan keselamatan sosial bagi wanita, yang seterusnya dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih inklusif dan seimbang,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2024